Tindakan NGO pro Umno, Pemantau Malaysia Baru memainkan isu lantikan beberapa orang bukan-Islam sebagai menteri, Peguam Negara serta Ketua Hakim Negara diselar oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Raja Kamarul Bahrin Shah.
Katanya, pasca 9 Mei rakyat semakin matang dan tidak wajar parti pembangkang serta para penyokong mereka masih terus-menerus membangkitkan isu perkauman dan agama.
“Kini era Malaysia baru, isu agama dan perkauman sudah dibenamkan. Sekarang masa untuk berganding bahu dan sama-sama menyelesaikan hutang negara RM1 trilion menggunung tinggi itu,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurut Raja Bahrin menjana semula keyakinan pelabur lebih penting berbanding memainkan isu kaum. Hal ini kerana, katanya, Malaysia semakin ditinggalkan oleh negara-negara Asia lain dari sudut ekonomi dan kemasukan pelaburan langsung asing.
“Malaysia perlu bergerak ke depan kerana jiran-jiran di ASEAN telah memintas dari segi pelaburan asing.
“Semua pihak perlu bekerjasama untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati di peringkat antarabangsa semula,” tambah Raja Bahrin.