Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Daim Zainuddin berhubung ekonomi dan pembangunan di negara ini.
Berkongsi perkara iti di Facebook hari ini dengan gambar mereka bersama, Anwar berkata: “Perbincangan dengan Tun Daim mengenai keadaan ekonomi kini dan memperkasakan agensi Bumiputera, termasuk jumlah pembangunan kontemporari.”
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan butiran lain pertemuan itu.
Kedua-dua mereka dilihat ketawa dan selesa antara satu sama lain dalam gambar berkenaan, bertentangan dengan spekulasi dalam PKR yang mendakwa Daim cuma merancang halang Anwar jadi perdana menteri.
Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) itu bagaimanapun menafikan khabar angin berkenaan dan berkata beliau sangat selesa bekerja bersama dengan Anwar.
“Saya tidak tahu dari mana datang idea yang saya tidak mahu (Anwar jadi perdana menteri). Siapa saya? Saya dah lebih 80 tahun..Saya tiada parti. Kamu beritahu saya kabinet mana yang nak dengar cakap saya?” beliau dipetik sebagai berkata baru-baru ini.
Daim juga berkata beliau bertemu dengan Anwar enam kali ketika Anwar dipenjara dan juga selepas dibebaskan.
Di bawah perjanjian Pakatan Harapan, Anwar dijangka akan menggantikan tempat Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. – TMI