Banyak pihak masih menganggap pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson atau dikenali sebagai ‘Langkah PD’ sebagai membazir kerana dilakukan semata-mata untuk merealisasikan strategi politik.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang mengingatkan para pengkritik bahawa Langkah PD tersebut tidak perlu dilakukan sekiranya bukan BN yang memerintah Malaysia dan mensabotaj kerjaya politik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rakyat kena ingat PRK di Port Dickson itu tidak perlu diadakan kalau Anwar tidak dipenjarakan pada tahun 2015 semasa era Najib Razak.
“Juga memandangkan Anwar akan menjadi perdana menteri ke-8 selepas Tun Dr Mahathir bersara maka PRK adalah satu keperluan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Chang juga membidas mana-mana pihak yang telah melupakan sejarah perubahan senario politik tanahair yang bermula sejak era Reformasi 1998 dan perjalanan politik Anwar yang penuh ranjau duri sehingga Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN.
“Orang yang menentang Langkah PD adalah orang yang melupakan sejarah,” bidasnya.
Manakala seorang pemain industri, Jameson Tan pula menganggap Langkah PD amat perlu dilakukan kerana Anwar dijangka mampu menarik pelabur asing datang ke Malaysia.
Katanya, ekonomi masih lembab walaupun telah 4 bulan PH berkuasa. Menurut beliau imej Anwar yang disenangi Barat berbanding Tun Mahathir akan lebih memudahkan modal dari benua itu masuk. Begitu juga modal dari negara Arab yang mana rantau itu melihat Anwar sebagai tokoh penyatu idea Timur dan Barat.
“Saya harap Anwar ada idea atau dasar baru dalam hal ekonomi dan kewangan. Malaysia amat perlukan suntikan dana dari pelabur asing untuk mengerakan ekonomi,” katanya.