Keahlian bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dalam Umno secara automatik terlucut jika menjadi calon bebas dan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Ahli majlis kerja tertinggi Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata perkara itu termaktub pada perlembagaan parti dan terpakai kepada semua anggota tanpa mengira jawatan.
“Mana-mana ahli yang menjadi calon bebas, secara automatik terlucut keahliannya. Ia memang sudah ada dalam perlembagaan parti.
“Kita ucapkan selamat berjaya kepada Isa jika benar-benar beliau hendak bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson nanti,” katanya kepada pemberita di Menara Dato Onn malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Isa yang dilapor akan bertanding atas tiket bebas.
Sharkar berkata sebarang tindakan disiplin termasuk pemecatan Isa bergantung kepada pucuk pimpinan dan lembaga disiplin parti.
Terdahulu, Isa memutuskan untuk bertanding atas tiket bebas selepas BN sebulat suara memboikot PRK berkenaan.
Penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lepas untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon dan 13 Okt sebagai hari mengundi. – FMT