Pendedahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa jumlah wang dalam pembendaharaan negara telah menguncup daripada RM11.86 bilion pada 31 Desember 2017 kepada hanya RM450 juta pada 30 April 2018, yang bermakna RM11.41 bilion telah digunakan dalam masa 4 bulan pentadbiran BN mengejutkan rakyat.
Namun masalah seumpama itulah yang menggugat pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga menyukarkan untuk menunaikan janji pilihan raya umum ke 14 lalu.
Menurut Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim, kelemahan dan skandal pentadbiran BN adalah faktor utama yang menyukarkan ekonomi negara dan lebih menyulitkan Menteri Kewangan untuk menyediakan belanjawan pro rakyat untuk tahun 2019.
“Sudah terang lagi bersuluh Kerajaan BN menggunakan wang sebanyak RM11.41 bilion itu. Bekas Perdana Menteri, Najib Razak perlu dan wajib memberi penerangan yang jelas dan terperinci berkenaan penggunaan wang yang begitu banyak dalam masa yang begitu singkat.
“Bagaimanakah Kerajaan Pusat PH akan menjalankan urustadbir atau operasi harian apabila lebih RM8 bilion diperlukan setiap bulan untuk dibayar sebagai gaji dan pencen kepada penjawat awam serta para pesara kerajaan?” katanya kepada Suara pakatan daily.
Ng menegaskan, Najib sebagai bekas Menteri Kewangan yang lepas wajar diheret ke mahkamah kerana jika gagal maka imej kerajaan PH yang telus dan berwibawa akan terjejas.
Menurutnya lagi, ramai pelabur asing sedang menilai bagaimanakah Kerajaan PH menguruskan isu penyelewengan wang dalam era Najib dan jika tiada langkah yang serius diambil untuk menghukum salahlaku, maka pelabur asing dan tempatan tidak akan melabur dan menambahkan lagi kelembaban ekonomi Malaysia.
“Sekarang pun, ekonomi Malaysia masih ‘slow’ atau perlahan. Kita perlu mengambil langkah yang pantas dan tegas untuk memberkas dan mendakwa semua pesalah-laku yang menyalahgunakan kuasa mereka dalam semua hal pentadbiran negara. Yang penting sekali semua pesalah-laku dalam skandal 1MDB wajib diberkas dan didakwa dengan segera.
“Golongan usahawan dan pelabur hanya akan melabur setelah pesalah-laku ini dipenjarakan. Ini bererti pendakwaan janganlah dilengah-lengahkan,” kata Ng lagi.