A. Samad Said membela Anwar Ibrahim dan berkata bahawa presiden PKR itu bukan sahaja baik untuk Port Dickson bahkan baik untuk Malaysia.
Sasterawan Negara itu berkata Malaysia memerlukan Anwar kembali ke Dewan Rakyat bagi membetulkan hala tuju negara.
“Beliau adalah tokoh penting dalam sejarah negara kita.
“Beliau telah membuktikan bahawa beliau memiliki kemahiran dan keupayaan kepimpinan yang baik untuk menjadi perdana menteri,” katanya kepada The Malaysian Insight di Port Dickson hari ini.
Penulis novel, penyair dan ahli DAP yang berusia 84 tahun itu berkata bahawa Anwar adalah pilihan terbaik untuk mengambil alih pentadbiran daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad apabila tiba masanya pemimpin veteran itu meninggalkan pentadbiran di Putrajaya.
Samad berkata, lebih mudah Anwar mengambil alih kuasa kerana Pakatan Harapan telah berjaya membentuk kerajaan.
“Sekarang tidak ada halangan untuk beliau mengambil jawatan tertinggi itu,” katanya.
Anwar bertanding di PRK Port Dickson dalam pertandingan tujuh penjuru dalam usaha kembali ke Parlimen.
Bekas timbalan perdana menteri itu akan menentang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Isa Samad, calon PAS Leftenan Kolonel bersara Nazari Mokhtar dan empat calon bebas termasuk bekas pembantunya, Saiful Bukhari Mohd Azlan.
Kerusi parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar, terdiri daripada 43% orang Melayu, 33% Cina dan 22% kaum India. – TMI