Pilihan raya kecil Port Dickson Sabtu ini mungkin tidak akan mengikut trend jumlah keluar mengundi rendah seperti pilihan raya kecil sebelum ini kerana keterujaan dengan bakal perdana menteri sebagai ahli Parlimennya, menurut jangkaan Institut Darul Ehsan (IDE) berdasarkan kajian kualitatif.
Ia menjangkakan jumlah keluar mengundi antara 55% dan 60% dan margin kemenangan lebih 30,000 kepada Anwar Ibrahim yang bertanding dalam pertembungan tujuh penjuru.
Ketua pengarah eksekutif IDE Dr Mohammad Redzuan Othan berkata ini kerana Anwar berkempen atas platform menjadi bakal perdana menteri, sekali gus meningkatkan jangkaan dan harapan pengundi dengan apa yang beliau boleh lakukan untuk kawasan Parlimen itu.
Sekiranya jumlah keluar mengundi 60%, itu sudah cukup baik. Anwar akan mendapat majoriti lebih daripada 30,000.
Salah satu sebab yang kita dapati masyarakat akan mengundi Anwar kerana beliau akan menjadi perdana menteri seterusnya. Mereka bangga PM datang dari Port Dickson,” kata Redzuan kepada The Malaysian Insight.
Kaji selidik itu dijalankan ke atas 1,084 responden yang tinggal di Port Dickson, menggunakan kaedah temubual bersemuka tiga hari sebelum penamaan calon bagi pilihan raya itu yang diadakan pada 30 September lalu. Kajian itu meliputi kesemua lima kerusi negeri dan 32 daerah mengundi di Port Dickson yang mempunyai 77,750 pengundi.
Kajian itu tidak melibatkan 40% pengundi berdaftar yang tinggal di luar Port Dickson.
Redzuan berkata “faktor Anwar” akan meningkatkan jumlah keluar mengundi berbanding tiga pilihan raya kecil sebelum ini sejak PRU14 iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong – yang menyaksikan jumlah keluar mengundi kurang 50%.
Naib canselor Universiti Selangor itu berkata, peluang bagi pesaing Anwar adalah tipis. PAS mungkin akan mendapat sedikit kurang undi berbanding yang diperoleh pada PRU12 manakala bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad akan mendapat pengundi tradisional.
“Pesaing terdekat Anwar adalah calon PAS dan Isa. Kita perlu melihat kepada calon dan parti yang diwakilinya.
“Isa tidak mewakili Barisan Nasional. Daripada kajian kami, pengundi BN akan menjauhi Isa,” kata Redzuan merujuk kepada bekas pemimpin Umno dan bekas pengerusi Felda yang terlibat dengan skandal. Umno dan BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.
Isa bertanding atas tiket beba dan Redzuan berkata sejarah menunjukkan calon bebas tidak akan mendapat sokongan yang baik. Sebarang sokongan kepadanya akan datang daripada Bagan Pinang dan Linggi, yang mana beliau mempunyai saudara mara.
Bagi PAS, Redzuan berkata mereka “bernasib baik” untuk dapat 5,000 undi. Pada PRU14, dalam pertembungan tiga penjuru calon PAS mendapat 6,549 undi.
“Pada PRU14, sesetengan pengundi tidak suka Barisan Nasional tetapi juga tidak mengundi Pakatan Harapan kerana calon PKR, Danyal Balagopal Abdullah bukan Melayu.
“Alternatif adalah PAS. Jadi, mereka undi PAS bukan dengan sengaja tetapi mereka tidak suka dua calon lain. Namun kali ini ada Anwar,” kata Redzuan.
Bagi calon bebas yang lain, Redzuan berkata mereka mungkin akan hilang deposit.
Cabaran paling besar untuk Anwar menang bergaya adalah pengundi yang tinggal di luar Port Dickson dan mereka yang enggan kembali pada hari mengundi. Ini terutamanya kepada pengunci Cina, kata Redzuan.
“Masalah dengan pengundi Cina adalah bukan kurang sokongan tetapi kerana kebanyakan mereka adalah pengundi muda, tinggal dan bekerja di luar kawasan.
“Kebanyakan mereka bekerja di Singapura. Saya tidak rasa mereka yang bekerja di Singapura akan balik. Tetapi mereka yang tinggal berdekatan seperti Seremban dan Nilai akan balik dan mengundi,” katanya.
Redzuan juga merasakan Anwar mampu memenangi undi tetera yang akan membuang undi pada pengundian awal hari ini.
Ini kerana Pakatan Harapan kini adalah kerajaan persekutuan dan tiada lagi tekanan untuk menyokong Barisan Nasional.
“Barisan Nasional bukan lagi faktor. Dengan perubahan yang dibawa kerajaan baharu. Undi tentera akan berpihak kepada Anwar, kira-kira 7,000 undi,” kata Redzuan.
Kemunculan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk membantu Anwar di Port Dickson juga merangsang kepada peluang bekas timbalan perdana menteri itu.
“Ia akan menolak penyokong Umno untuk mengundi Anwar.
“Dengan kehadiran Dr Mahathir dan Daim (Zainuddin), ia sekaligus menghentikan khabar angin plot terhadap Anwar,” katanya merujuk kepada pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang dikatakan merancang menentang penggantian Anwar daripada Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Pengundi di Port Dickson terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina, 22% India dan 2% lain-lain.
Pada PRU14, calon PKR Danyal Balagopal Abdullah menang 36,335 undi, menewaskan calon BN dan PAS yang menerima masing-masing 18,515 dan 6,594 undi.
Untuk menggalakkan jumlah keluar mengundi, PKR mengadakan kempen “Jadilah sebahagian daripada sejarah” menjelang hari mengundi.
“Mereka (PKR) menggunakan tagline itu untuk memberitahu pengundi bahawa mereka boleh menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Redzuan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang merupakan dari PKR, turut menghantar surat kepada syarikat sektor swasta untuk menggesa mereka membenarkan pekerja mereka balik mengundi. – TMI