Menteri Wilayah Persekutuan, Ir Khalid Samad menyokong langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidangkuasa Parlimen.
Katanya, langkah itu penting untuk meraih kembali keyakinan masyarakat dunia dan meletakkan Malaysia di peta pelaburan antarabangsa. Menurut beliau, sebelum ini pelabur asing, khususnya dari Barat ragu menanam modal apabila dunia mengenali Malaysia sebagai negara kleptokrasi.
“Langkah demikian supaya kedua-dua badan itu berani bertindak neutral dan tidak akan dipengaruhi oleh Jabatan Perdana Menteri (seperti sebelum ini). Ini akan membuktikan Kerajaan PH telus, bersih, berwibawa dan serius dalam amalan demokrasi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Amanah menegaskan Malaysia perlu memulihkan amalan demokrasinya terlebih dahulu bagi meningkatkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI)
“Sekarang pun, Malaysia berjaya menarik jumlah pelaburan (FDI) sebanyak RM800 juta dari negara Jepun dan ini menunjukkan Malaysia sedang berjalan di atas landasan yang betul. Namun banyak hutang perlu dilunaskan.
“Lim Guan Eng, Menteri Kewangan telah mengumumkan Kerajaan PH setakat ini membayar sebanyak RM1.688 bilion sebagai faedah untuk hutang 1MDB.
“Bagaimana pula dengan faedah untuk hutang-hutang yang lain?” tanya Khalid.
Bagaimanapun beliau berkata Kerajaan PH tidak akan membebani rakyat, terutamanya dari golongan miskin dan yang berpendapatan rendah dalam usaha menjelaskan hutang itu.
Khalid juga berharap rakyat sanggup bersabar kerana ekonomi negara mengambil masa untuk dibaikpulih.
“Yang penting Malaysia perlu menarik semula pelaburan asing dan saya pasti langkah-langkah untuk mereformasikan institusi nasional akan membawa manfaat kepada negara kita dalam masa yang terdekat dan juga untuk panjang,” tambahnya.