Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bukan kerana sebab lain, kata Khairy Jamaluddin.
Itu kata terus-terang bekas ketua Pemuda Umno itu terhadap kenyataan yang dibuat oleh bekas ketuanya, Najib Razak.
“Kita kalah sebab 1MDB. Tamat,” kata Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan di Twitter.
Dalam ciapannya itu, Khairy turut melampirkan berita dari theSun yang memetik Najib sebagai berkata “BN kalah kerana penipuan, fitnah dan janji palsu Pakatan Harapan”.
Laporan berita itu juga memetik Najib berkata Umno dan BN tidak bersalah.
Itu kata Najib pada sesi minum petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, di mana beliau menjelaskan segala tuduhan dan penipuan yang Pakatan Harapan lemparkan terhadapnya.
Selepas PRU14, Khairy menjadi pengkritik kuat dengan berkata Umno dan BN perlukan pembaharuan untuk terus relevan.
Najib pula meletak jawatan sebagai presiden Umno dan kini dihadapkan dengan 38 pertuduhan berkaitan skandal 1MDB. – TMI