Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran (8,800 undi) kepada calon BN, Ramli Mohd Nor (12,038 undi) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan perbezaan sebanyak 3,238 undi amat menggusarkan.
Biar pun rakyat maklum kemungkinan Manogaran kalah namun penganalisis politik meramalkan kekalahan kurang daripada 500 undi.
Menurut seorang pelabur asing, Jameson Tan yang mempunyai kilang di kawasan perindustrian di Sungai Buloh, Selangor kekalahan itu boleh dianggap isyarat rakyat mula menolak demokrasi yang mula mekar pada 9 Mei 2018 lalu dan mereka sanggup berpatah balik ke arah negara kleptokrasi dengan alasan kaum dan agama.
“Kekalahan PH dengan majoriti yang begitu besar di luar jangkaan dan amat mengecewakan.
“Ini menunjukkan isu dan faktor perkauman masih memainkan peranan besar, utama dan penting dalam senario politik di Malaysia kerana pemimpin-pemimpin Pas dan Umno yang mengungkitkan faktor perkauman dalam semua ceramah mereka dibiarkan begitu sahaja padahal mereka patut dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
“Mengapakah Kerajaan PH membiarkan isu perkauman dimain secara berterusan?” kata Jameson kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, jika faktor perkauman dan agama sempit terus memainkan peranan dalam pentadbiran, pengurusan serta polisi kerajaan Malaysia maka pelabur asing tidak akan kembali dan yang telah bertapak akan berhijrah ke tempat lain.
“Sekarang seluruh dunia sedang memerhatikan proses perundangan di Malaysia. Ramai pelabur asing mendapati proses perundangan berjalan terlalu perlahan dalam isu 1MDB.
“Sepatutnya orang-orang yang didakwa sudah dibicarakan tetapi belum lagi. Keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia akan merosot jika proses perundangan dilambatkan lagi.
“Saya masih yakin Kerajaan PH boleh mentadbir dengan baik dan kekalahan di Cameron Highlands adalah satu loceng amaran kepada PH untuk mengambil tindakan tegas dan serius untuk menghentikan unsur-unsur perkauman mempengaruhi fikiran rakyat terutamanya masyarakat Melayu.
“Saya juga berharap Kerajaan PH akan memulakan kerja untuk memastikan kemenangan di Semenyih nanti,” kata Jameson lagi.