Banyak pihak berpendapat kekalahan Pakatan Harapan (PH) di pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Januari lalu disebabkan oleh janji-janji manifesto pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang tidak ditunaikan
Namun demikian, isu sebenar yang menghakis sokongan kepada PH adalah kos sara hidup yang masih tinggi selepas mansuhnya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan ia memberi gambaran kegagalan kerajaan dalam polisi kepenggunaan.
Wartawan Suara Pakatan Daily cuba meninjau pendapat awam di sekitar Kuala Lumpur berhubung harga barang. Penemuan kami amat memeranjatkan. Hampir semua rakyat mengkritik PH biar pun mereka sebahagiannya mengundi gabungan itu dalam PRU 14 lalu.
Seorang penjual nasi lemak yang mahu dikenali sebagai Kak Maimunah, 50an, di kawasan Parlimen Segambut di Kuala Lumpur berkata walaupun ada barang yang mengalami penurunan harga, namun kadar penurunannya kecil.
Sedangkan barang yang mengalami peningkatan harga banyak. Katanya, minyak masak 2kg yang yang digunakannya berharga RM7.20 sebelum kerajaan BN menghapus subsidi. Kemudian harga meningkat kepada RM10.50. Tetapi selepas PH menang harga hanya turun ke paras RM10 sahaja.
“Kalau harga itu tidak boleh balik kepada asal RM7.20 tidak apa, RM8 sudah cukup bagus tapi paras harga RM10 masih tinggi.
“Jangan sebut pasal harga telur yang melambung ke langit. Semasa zaman GST, walaupun telur tidak dikenakan GST, harganya lebih rendah dari sekarang.
“Kini dekat Tahun Baru Cina pun harga telur masih tinggi. Apa yang Kerajaan PH sedang buat? Saya rasa bab harga barang, Kerajaan PH lembab,” celanya.
Bagi Timothy Tey pula, pemandu van berusia 40an, beliau amat marah kepada PH kerana harga bateri kereta naik sebanyak RM30.
“Saya selalu tukar bateri kereta pada setiap bulan Januari. Pada Januari tahun lalu bateri hanya berharga RM190. Pada Januari tahun ini bateri jenama yang sama berharga RM220.
“Ini bererti harga bateri lebih murah pada zaman GST! Bukan itu sahaja, harga tisu tandas pun sudah naik. Pada November tahun lalu jenama yang saya selalu beli berharga RM12.50 tetapi sekarang harganya ialah RM13.80, produk yang sama, jenama yang sama. Saya baru sahaja beli hari ini. Lain-lain jenama pun mengalami peningkatan harga juga. Ada masalah dalam kedudukan kewangan negara atau apa?” tanya Timothy.
Seorang pekedai barang runcit, Jayakumar, 45 tahun, memberitahu beliau terpaksa menaikkan harga barang di kedai kerana pihak pengilang dan pembekal telah menaikkan harga barangan mereka.
“Ada satu kemusykilan atau permasalahan dalam rangkaian bekalan atau ada masalah dengan ekonomi negara atau ada sesuatu yang tidak betul, cuma kita rakyat tidak tahu perihal yang lebih lanjut dan terperinci.
“Nampaknya tahun 2019 adalah tahun yang amat mencabar untuk Malaysia. Kerajaan PH wajar mengambil langkah yang serius untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara dan sudah tiba masanya mereka meningkatkan prestasi sebelum terlambat,” ujar beliau.