Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan (PH) bersedia berdepan kerjasama UMNO-PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini dengan kemungkinan mereka memainkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih undi.
Presiden PKR itu berkata, PH tidak akan memainkan isu perkauman tetapi sebaliknya akan memberi penekanan kepada penyampaian janjinya untuk membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
“Saya optimis kami mempunyai dasar yang betul, turun ke akar umbi untuk berkhidmat kepada rakyat, kami berupaya untuk melaksanakannya,” kata Anwar kepada pemberita selepas majlis penutup Forum Ekonomi dan Tinjauan Masa Hadapan Strategik Malaysia 2019 di sini, hari ini.
Beliau berkata isu perkauman yang dimainkan pembangkang menyumbang kekalahan PH dalam PRK Parlimen Cameron Highlands yang diadakan Sabtu lalu.
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung – MD