Tiga ahli politik akan disoal esok pagi berhubung dakwaan RM90 juta disyaki daripada 1MDB dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin PAS.
Sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata salah seorang diminta ke cawangan Kelantan manakala 2 lagi akan disoal di Putrajaya.
“Mereka diminta berada di pejabat SPRM pada 9 pagi,” kata sumber kepada FMT.
Seorang ahli politik itu adalah Adun, menurut sumber itu.
Semalam, PAS mengumumkan ia sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen-dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.
Parti Islam itu juga menyeru pihak yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan tersebut tampil membantu siasatan.
Perkembangan ini menyusuli penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung artikel yang mendedahkan dakwaan tersebut.
Sebelum ini, bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dituduh di mahkamah dalam kes-kes berkaitan 1MDB nafi pernah membayar RM90 juta kepada pemimpin PAS.
Beliau mengingatkan pihak berkuasa sudah membuat siasatan yang sangat teliti terhadap akaun-akaun peribadinya dan Umno sejak pilihan raya umum ke-14. – FMT