Syeikh Dr. Yusuf alQaradhawi menyenaraikan tiga tanda ta’asub seseorang kepada sesuatu kumpulan (atau jemaahnya);
Pertama:
Seseorang itu hanya menyebut kelebihan dan kebaikan kumpulannya sahaja, sementara untuk kumpulan lain hanya disebut keburukan dan kecacatan.
Kedua:
Dalam masa yang sama, mengagungkan tokoh-tokoh kumpulannya, sekalipun terdapat kesilapan dan kesalahan pada tokoh tersebut yang cuba dinafikan, dan memandang rendah tokoh lain sekalipun terdapat ketinggian ilmu & amal.
Ketiga:
Gembira dan menyebarkan kesilapan dan kesalahan pihak lain. Dalam masa sama, membutakan mata pada kesalahan tokoh dari kumpulan sendiri, dan berusaha mencipta pelbagai alasan untuk mempertahankan kesalahan itu.
Dari 3 sifat ta’sub di atas…
Seseorang itu dilihat berlebih-lebihan (ghulluw, tasyaddud) mempertahankan organisasi kumpulan (atau jemaah) sendiri seolah-olah itu adalah perkara ta’abbudi. Sehingga dikorbankan maslahah dakwah Islam dan umatnya supaya organisasi kumpulannya lebih terjaga.
Untuk itu;
Qaradhawi mengingatkan pada pendakwah dan pendokong gerakan Islam bahawa;
(a) Kumpulan atau jemaah hanyalah wasilah (atau alat) dan bukannya berhala yang perlu disembah dan diagungkan seolahnya tiada dosa.
(b) Kaedah menjauhkan sifat ta’asub (fanatik melampau) dalam hal perbezaan pendapat dan ijtihad, seseorang hendaklah;
(1) Lihat pada kandungan teguran/percakapan, bukan pada susuk yang berkata, sekalipun dari musuh.
(2) Pendakwah perlu berani mengkritik diri sendiri, mengakui kesilapan, mengalu kritikan orang lain, meminta nasihat dan penilaian serta mengambil faedah dari semua orang.
(3) Pendakwah sebenar wajib mempertahankan sesuatu yang kebenaran, sama dari kawan atau lawan.
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ…
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
(Adz-Dzaariyaat 51:55)
📗 Rujukan:
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam _as-Sahwah al-Islamiyyah Bayna al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa at-Tafarruq al-Mazmum