Di Sarawak, Amanah – parti Islam dalam kerajaan – seorang paderi Kristian mengetuai satu cawangannya, sementara seorang bekas ahli Persekutuan Kristian Malaysia pula duduk dalam lembaga penasihatnya.
Di Pahang, majoriti ahli dalam 10 cawangannya beragama Hindu, kata Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir. Malah, menjadi kebiasaan di 163 “kawasan” parti, orang bukan Islam memegang jawatan timbalan atau naib pengerusi.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Amanah biasanya menerima antara 400 hingga 500 permohonan baharu setiap bulan.
Parti itu terbuka kepada orang Islam dan bukan Islam. Pada masa sekarang, parti menerima permohonan baharu mencecah 15,000 sebulan, kata Anuar lagi.
Pertumbuhan dan perkembangan pesat Amanah ini tidak banyak jadi tumpuan ketika pemimpin mereka sejak tahun lepas sibuk menguruskan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan.
Selepas setahun kejayaan bersejarah Pakatan Harapan (PH), dua partinya yang “paling mentah” – Amanah dan Bersatu – meluaskan sayap mereka membisukan pengkritik yang selama ini bising menuduh kedua-dua parti itu tidak akan bertahan lama.
Bersatu – parti Bumiputera dalam PH – juga sibuk meraih ahli baharu di pasar malam dan luar rumah kedai. Harapan mereka hanya satu – mengukuhkan kehadiran dalam kalangan pengundi Melayu seterusnya memberikan lebih kekuatan kepada pakatan pemerintah.
Walaupun hasil usaha mereka mengagumkan, beberapa pemimpin akar umbi Bersatu masih berhati-hati menerima ahli baharu terutama bekas ahli Umno yang kini jadi pembangkang kerana bimbang ada yang hanya mahu kongsi tuah tanpa ikhlas perjuangan.
Tetapi, pakar strategi parti dan penganalisis politik berkata jumlah keahilan bukanlah faktor utama kemampuan parti menang pilihan raya.
Kerana apa yang lebih utama adalah kualiti dibawa ahli dan keyakinan pengundi kepada pentadbiran kerajaan PH.
“Kalau nak kira ahli sahaja yang menentukan kemenangan, PAS dah lama menang PRU dan Umno tak akan kalah PRU14,” kata Mohd Azlan Zainal daripada Ilham Centre.
Jumlah rasmi ahli Umno mencecah 3 juta orang, hampir 2 juta lebih ramai berbanding ahli keempat-empat parti yang membentuk PH.
Dilengkapi kekuatan sebegitu, Umno dan Barisan Nasional masih ditolak majoriti pengundi yang mahukan perubahan kerajaan pada pilihan raya lalu, kata Azlan yang juga pengarah eksekutif Ilham Centre lagi.
“Landskap politik hari ini lain daripada dua dekad dulu di mana bilangan ahli sesebuah parti itu penting. Hari ini sebuah parti boleh menang bukan kerana ia ramai ahli tetapi kerana dia berjaya menarik sokongan pengundi yang bukan ahlinya.”
Menurut Anuar daripada Amanah, sehingga sekarang, parti itu mempunyai 160,000 ahli dalam 163 kawasan kerusi Parlimen seluruh negara. Manakala, menurut seorang pegawai Bersatu, jumlah ahlinya kini mencecah 350,000 orang.
Walaupun jumlah ahli baharu terus bertambah, pemimpin veteran akar umbi bimbang tentang kualiti dan komitmen mereka terutama yang menyertai parti selepas perubahan kerajaan.
“Saya risau tentang semangat perjuangan dan tahap pengorbanan ahli baru,” kata pemimpin Amanah Melaka Amiruddin Abdul Jalil mengulas situasi pertambahan ahli pasca PRU14.
“Saya pernah nampak ada orang dia join tiga parti sekali lepas tu dia tengok dulu, bandingkan parti mana beri dia kelebihan. Parti itu lah dia aktif.
“Ini lah cabaran kita sekarang. Cabaran selepas kemenangan lebih berat daripada cabaran semasa berjuang,” katanya yang juga naib ketua Amanah Jasin.
Mohd Faizul Mohd Ismail daripada Bersatu Perak pula berkata parti itu berdepan masalah sama dengan sebilangan ahli Umno yang berpaling tadah daripada parti yang terkenal dengan sistem penaungan dan politik wang itu.
“Masa PRU14 dulu dia lawan kita, maki kita, panggil kita macam-macam. Sekarang kita dah menang dia nak masuk dengan kita. Mesti lah kita tak percayakan mereka,” katanya yang merupakan ketua Bahagian Bersatu Teluk Intan.
“Dia bawa duit dia daripada dalam Umno dan kita takut dia akan rosakkan kita macam dia rosakkan Umno.”
Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengharapkan ketegangan antara ahli baharu pasca PRU14 dan ahli lama sebelum PRU14 akan dapat diredakan oleh pemilihan parti dijadualkan September ini.
“Semua pemimpin kita, semua peringkat dilantik. Ini satu stigma kerana seolah-olah kita tiada sokongan sebenar ahli, kita hanya ada jawatan kerana kita ada kaitan dengan pemimpin atasan.
“Pemilihan parti boleh menyelesaikan masalah ini kerana ia memberi platform kepada setiap orang untuk buktikan kekuatannya,” katanya yang enggan namanya didedahkan.
Bersatu sudah meluluskan peraturan melarang bekas ahli Umno yang menyertai parti selepas PRU14 bertanding sebarang jawatan parti atau jadi calon PRU15.
Di sebalik perkembangan pesat kedua-dua parti, pemimpin mereka mengakui masih sukar menembus masuk kawasan luar bandar pengundi Melayu yang dianggap kubu kuat Umno dan PAS.
“Di Johor, kita menang di semua bandar-bandar besar di pantai barat. Muar, Segamat, tengah Batu Pahat, Johor Bharu,” kata Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang yang baharu dilantik.
“Ahli kita bertambah di kawasan-kawasan ini. Tetapi di kawasan seperti Mersing, Kota Tinggi, tengah-tengah Johor pertambahan agak slow,” katanya yang juga ketua Bahagian Tebrau yang mempunyai cawangan dan ahli teramai di Johor.
Situasi sama berlaku dalam Amanah, yang berkembang pesat di pantai barat Semenanjung berbanding negeri pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang –, kata seorang pakar strategi parti.
“Target kita memang dari dulu Muslim dan non Muslim yang open minded dan mereka ini kebanyakkan di pantai barat. Orang yang duduk di pantai timur pemikiran tertutup, itu pasal PAS dapat kawal mereka,” katanya yang enggan namanya didedahkan.
Azlan daripada Ilham Centre berkata kejayaan menerobos masuk kawasan luar bandar adalah faktor kritikal meraih undi orang Melayu pada PRU15 akan datang.
“Pengaruh sesebuah parti di kawasan bandar dan semi urban tak beberapa penting kerana pengundi dapat info dan perkhidmatan daripada berbagai sumber,” katanya.
Di kawasan luar bandar, parti politik seperti Umno dan PAS adalah penghubung masyarakat untuk mendapatkan bantuan dan maklumat, malah tokoh tempatan seperti ketua kampung dan imam surau berpengaruh terhadap sentimen pengundi, jelasnya.
“Network di dalam kampung tradisi melayu, kawasan Felda penting dan di sini Bersatu dan Amanah kena beri tumpuan. Tempat-tempat ini yang akan jadi medan pertempuran utama dalam PRU15.” – TMI