Rata-rata pandangan rakyat mengenai perlantikan Ketua Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Latheefa Koya, sebagai positif.
Biarpun PM Tun Mahathir mengekalkan cara BN dan melanggar janji Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan pemilihan dalam jawatankuasa parlimen terlebih dahulu, namun bagi rakyat mereka mahu melihat prestasi ketua SPRM yang baharu itu sebelum memberi komen yang kontra mengenai cara lantikan tersebut.
“Pandangan saya ialah walaupun prosedur yang diambil oleh PM Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perlantikan Latheefa Koya sebagai Ketua SPRM tidak berapa sempurna, memandangkan beliau buat keputusan tersebut tanpa sebarang rundingan dengan ahli-ahli kabinet, namun lebih baik masa ini semua pihak menyokong perlantikan itu tanpa membuat bising terlalu berlebihan.
“Kalau ramai orang membantah perlantikan Latheefa, ini akan memberikan gambaran bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu kerajaan yang tidak stabil.
“Selain dari itu, musuh PH mungkin mengambil kesempatan ini untuk menyerang pentadbiran Kerajaan PH. Kita sebagai rakyat patut menyokong perlantikan itu kerana Latheefa adalah wanita yang telah lama berjuang untuk keadilan dan pihak yang ditindas.
“Maka kita harus memberi peluang kepada beliau untuk menunjukkan potensinya,” kata pemilik kedai barang elektrik di Kepong, Prakash kepada Suara Pakatan Daily.
Menurut beliau, banyak komen di media sosial menentang prosedur perlantikan dan ini bukan satu perkara yang baik untuk sebuah kerajaan yang baru setahun berkuasa.
“Kinipun ramai golongan usahawan mempunyai pandangan Kerajaan PH tidak mempunyai halatuju dan dasar yang jelas mengenai urusan pentadbiran dan hal-ehwal dagangan. Sekarang hal perlantikan Latheefa pula. Kalau keadaan begini berterusan, ramai orang awam dan bukan sahaja golongan usahawan akan hilang keyakinan terhadap Kerajaan PH,” tegas Prakash.