Kerajaan Pulau Pinang akan terus memberi keutamaan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki skim perumahan mampu milik.
Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, setakat ini sejumlah 4,483 unit telah ditawarkan kepada pemohon dibawah kategori penjawat awam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan persekutuan yang ingin ‘menghapuskan’ skim perumahan mampu milik untuk penjawat awam.
“Daripada jumlah 4,483 unit itu, 1,845 unit telah ditawarkan kepada penjawat awam, 1,586 unit kepada ibu atau bapa tunggal, 945 unit kepada mereka yang menerima notis perintah keluar dan selebihnya kepada golongan OKU.
“Kita akui ramai penjawat awam yang sukar untuk memiliki rumah sendiri. Sebab itu kerajaan negeri akan sentiasa bela nasib mereka,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, keputusan itu adalah untuk menggalakan interaksi sosial antara penjawat awam dengan orang ramai.