Polemik sama ada Menteri Ekonomi Azmin Ali terlibat dalam aksi seks luar tabie atau tidak kurang menarik minat rakyat marhaen. Rata-rata mereka yang telah lali dengan skandal seks pimpinan politik sejak 20 tahun lalu berkata lebih mengutamakan isu harga barang tinggi berbanding lain-lain perkara.
Menurut seorang peniaga kecil yang mahu dikenali sebagai Kak Maimunah perkara yang penting dalam tempoh ekonomi kurang memberangsangkan ialah parti pemerintah bersatu padu dan pastikan kos hidup boleh diturunkan sesuai dengan janji manifesto Pakatan Harapan.
“Apa yang penting sekarang ialah untuk semua pihak dalam PKR bersatu dan tidak mengutamakan diri sendiri.
“Saya baru sahaja membeli barang-barang runcit dan di mana jua saya pergi, di kedai runcit atau pasaraya besar, harga barangan telah mengalami kenaikan sekurang-kurangnya 50 sen.
“Ini memberi gambaran situasi ekonomi dan kewangan negara lemah. Kalau tidak, mengapa harga barang runcit melonjak tinggi?” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau yang kecewa dengan politiking berlebihan PH berkata, sekiranya keadaan berterusan maka rakyat Malaysia akan berubah menyokong Umno dan Pas yang kelihatan semakin mantap dan bekerjasama untuk menjadi pembangkang yang baik.
“Sementara itu, Umno dan Pas nampaknya sedang meraih sokongan Melayu. Jiran-jiran Melayu sudah memberitahu saya bahawa mereka akan mengundi BN semula dalam Pilihanraya Umum 15 (PRU15) sementara jiran-jiran Cina dan India pula kata mereka akan duduk rumah sahaja pada hari mengundi.
“Saya berpendapat keadaan seperti ini berlaku sebab ramai orang kecewa PH belum lagi menunaikan banyak janji.
“Dulu faktor utama rakyat tolak BN adalah disebabkan oleh GST tetapi kini harga barang lebih tinggi daripada harga masa zaman GST. Oleh itu, ramai orang terutamanya yang miskin atau yang berpendapatan rendah rasa situasi zaman BN tidak banyak berbeza.
“Ini akan mendorong mereka mengundi BN pada PRU15 sebab menurut jiran-jiran dan rakan-rakan Melayu, Kerajaan BN adalah lebih stabil, tidak begitu banyak kucar-kacir seperti dalam koalisi PH sekarang,” tambah Kak Maimunah
Selain itu, beiau juga berpendapat PM Tun Dr. Mahathir perlu menyatakan tarikh tepat Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim akan mengambil-alih jawatan.
Menurutnya, rakyat akan lebih selesa mengharapkan PM baharu membuat perubahan dan pemainan politik akan dapat dihentikan dengan serta-merta dan kerajaan boleh menumpukan kepada masalah rakyat.