Bekas Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah menghangatkan perbicaraan kes salah guna dana SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib Razak apabila mengaku beliau berbohong bagi melindungi Najib berkaitan isu 1MDB.
“Saya tidak beritahu perkara sebenar. Saya lindungi perdana menteri (I was covering the prime minister),” katanya semasa perbicaraan kes SRC International terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 2016 Ahmad Husni menolak skandal 1MDB sebagai alasan perletakan jawatannya.
Pada perbicaraan hari ini, Husni juga mendedahkan Najib mahu memindahnya ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang menurutnya juga menjadi sebab dia meletakkan jawatan.
“Saya kata (kepada PM) ‘saya faham anda akan pindahkan saya’. Dia kata ‘ya, saya akan pindah anda ke kerajaan tempatan’. Dan saya kata ‘saya telah buat pelan rasionalisasi (1MDB)’.
“Perdana menteri kata ‘saya nak anda ke kementerian baru untuk cabaran baru’, dan saya kata ‘ gugurkan saya, terima kasih’.”Katanya menurut laporan itu.
Tambah Husni, satu lagi sebab dia meletakkan jawatan ialah “kerana Allah”.
Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri berdepan tujuh pendakwaan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dari SRC International. – RF8 Media