Gabungan pejuang media sosial pro kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menjelaskan salah faham berhubung satu kenyataan dikeluarkan oleh sayap RF8 Army Youth Media semalam yang mendakwa gabungan itu sebagai ‘media sosial rasmi pro Kerajaan Baru PH’
Kenyataan berkenaan telah mendapat respons segera Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah yang menafikan PH melantik atau memberi sebarang mandat kepada mana-mana pihak untuk menjadi media sosial rasmi pakatan itu.
Sehubungan itu, Ketua Turus Sekretariat Nasional RF8 Malaysia mengeluarkan kenyataan balas bahawa berlaku sedikit kekhilafan istilah pihak Pentadbir Page Angkatan Reformasi Media Gen Y dalam pengumuman mencari keahlian di peringkat negeri, baru-baru ini.
“Tersebar di laman sosial mengenai isu salah faham dan kekhilafan kenyataan yang dimuat naik oleh Pentadbir Page Angkatan Refoirmasi Media Gen Y atau Army RF8 yang mengandungi unsur (perkataan) ‘rasmi’ dan ‘sokongan’ sehingga disalah tafsir oleh kelompok-kelompok kecil pengamal media sosial freelancer.
“Mewakili anak-anak muda ini, RF8 memohon maaf atas kesilapan dan kekhilafan kenyataan Page tersebut,” kata kenyataan berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, Youth Media RF8 adalah platform sukarelawan pelayar media sosial yang terdiri daripada anak-anak muda berumur 18 hingga 30 tahun di semua parlimen seluruh negara.
Penyertaan dalam RF8 di atas dasar menyokong kerajaan PH melalui media sosial sebagaimana dilakukan pada sebelum pilihan raya umum ke 14 lalu.
Oleh itu, RF8 digerakkan sebagai platform tersusun untuk penggiat media sosial berkenaan menyampaikan info kepada rakyat berhubung skim dan program kerajaan PH serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengundi muda mengenai isu-isu kenegaraan.
“Selaras dengan dasar baru mengundi pada umur 18 tahun maka Youth Media RF8 bergerak pantas menghimpunkan anak-anak muda dalam platform RF8 untuk meneruskan kelangsungan negara bersama kerajaan PH
“Anak muda ini perlu dibimbing dan diberi penekanan untuk menyokong kerajaan sedia ada,” kata kenyataan itu lagi.
RF8 turut menegaskan keperluan mengerakkan jentera penerangan media sosial di setiap negeri bagi menghadapi serangan berita palsu dan fitnah yang dimainkan oleh laskar siber Umno dan Pas saban hari.
Terdahulu, RF8 peringkat nasional telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Senator Datuk Marzuki Yahya di Putrajaya pada 21 Julai lalu.
Turut sama memberi ucaptama dalam majlis tersebut adalah penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.
RF8 mengesahkan gabungan itu memiliki sukarelawan media sosial di 222 parlimen seluruh negara melibatkan 5,000 aktivis. – RF8 Media