NGO pro pembangkang diseru agar tidak mengelirukan rakyat kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertindak mengancam agama Islam di negara ini.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata sejak PH memerintah Putrajaya bermula 10 Mei tahun lalu belum ada bukti kerajaan mahu mengubah struktur negara seperti Perlembagaan Persekutuan atau melemahkan agama Islam
Katanya, tohmahan LGBT diberi ruang selesa atau Kristian dibenar menyebarkan dakwah hanyalah retorik politik. Sekiranya terdapat kebenaran dalam dakwaan tersebut, menurut Sany, rakyat boleh melaporkannya kepada pihak polis.
“Pembangkang hari ini perlu ada moral dan disiplin. Kita (PH) benarkan mana-mana pihak menyuarakan pandangan dan negara ini bebas amalkan agama masing-masing. Walaupun Islam agama rasmi tetapi kita tidak melarang pihak lain dengan kepercayaan mereka.
“Negara kita ada undang-undang. Kalau berlaku sesuatu yang tidak betul, sila laporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan. Bukannya gunakan helah (tuduhan melulu) untuk serang kerajaan.
“Umno-BN dan Pas perlu lebih terbuka. Jangan wujudkan keresahan Melayu. Kita perlu mengembalikan semula keyakinan bangsa bukannya melemahkan bangsa sendiri,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Baru-baru ini NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendakwa kerajaan PH seolah-olah tidak mengambil tindakan terhadap agenda kristianisasi dan liberalisasi yang meresapi pentadbiran negara.
Sehari selepas itu, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Hermen Shastri membidas pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang juga presiden Isma Aminuddin Yahaya kerana mendakwa liberalisme dan Kristianisasi menimbulkan ancaman terhadap Islam dalam konvensyen Ummah pada 25 Ogos.
“Ia tidak berasas dan bermaksud untuk menakut-nakutkan umat Islam agar melihat orang Kristian sebagai musuh.
“Ia hanya menunjukkan bahawa Ummah bankrap idea-idea dan oleh itu merasakan perlu menggunakan taktik sedemikian untuk memecahkan negara kita dan menimbulkan ketakutan antara agama,” katanya dilapor Malay Mail.
Bagi Sany Hamzan, gesaan Melayu bersatu mahupun agenda kristianisasi adalah tidak relevan kepada persekitaran pelbagai budaya seperti di Malaysia.
“Masyarakat kawasan Melayu hari ini tiada masalah. Saya sendiri duduk di kawasan yang pelbagai bangsa dan parti. Kami masih bersatu tidak ada isu perpecahan pun.
“Yang berpecah mungkin ketika isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Ramai Melayu berpecah kerana mereka mahu berhijrah, mereka tolak rasuah dan tidak mahu duit rakyat dirompak lagi,” katanya dipetik SK.
Sebaliknya Sany menyalahkan Umno kerana tidak mempersiapkan orang Melayu dari segi mental dan spiritual selama 60 tahun memerintah. Katanya, Melayu tidak sepatutnya takut dengan persekitaran mereka jika mantap dari segi ilmu agama dan ekonomi.
“Selama 60 tahun Umno buat apa? Kenapa kita (PH) memerintah timbul isu perkauman yang teruk? Kalau dulu Umno sering memainkan isu ini sekarang Pas juga beraksi dengan isu yang sama untuk gunakan senjata ini serang (PH).
“PH baru setahun lebih memerintah tetapi mahu selesai segala isu dalam masa setahun sedangkan bebanan 60 tahun yang ditinggalkan Umno tidak diambil kisah. Itulah propaganda pembangkang hari ini terhadap PH,” katanya lagi. – RF8 Media