Kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilaksanakan sejak April lalu dan dihijack oleh penyokong Umno serta Pas kemudiannya, tidak melemahkan aliran tunai peniaga Cina.
Sebaliknya, kempen itu dikhuatiri hanya akan menajamkan isu perkauman dan mencetus huru-hara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng berkata beliau ada mendengar kempen tersebut daripada beberapa rakan muslim tetapi menafikan jualan pekedai cina merosot sebagaimana didakwa.
Chee Meng dalam pada itu mahu kerajaan campur tangan kerana kesan kempen hanya akan memecahbelahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Kami ada mendengar mengenai kempen itu tetapi kenapa masih ada lagi umat Islam yang berkunjung ke kedai bukan Islam?
“Ini membuktikan keadaan itu tidak begitu buruk seperti yang didakwa dan mereka yang berada di belakang kempen itu adalah minoriti yang menghasut orang Islam untuk mendapat keuntungan politik. Ia sangat tidak bertanggungjawab.
“Malah kumpulan yang memulakan kempen itu telah menjelaskan perkara berkenaan, jadi jangan lagi politikkan hal itu. Jika tidak, pasaran akan jadi huru hara,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Menurutnya tuduhan kumpulan hak asasi Ummah bahawa hasil jualan perniagaan kaum Cina telah merosot sebanyak 50% adalah tidak benar kerana beliau tidak menerima apa-apa aduan berkenaan hal itu dan pelanggan Melayu juga dilihat masih pergi ke kedai milik kaum Cina.
“Saya baru pulang dari perjumpaan di Melaka. Di sana tidak ada aduan daripada peniaga Cina (berkenaan perniagaan merosot).
“Perniagaan mereka berjalan seperti biasa terutama bagi mereka yang mempunyai kedai runcit di kawasan Melayu,” katanya.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Yow Boon Choon dan Pengerusi Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Perniagaan Kecil Pulau Pinang dan Seberang Perai Lam Tong Ying juga mengakui perniagaan mereka masih berjalan lancar.
Difahamkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang memulakan kempen untuk menyokong membeli barangan produk Muslim bagi memacu pertumbuhan ekonomi dalam masyarakat dan memberikan pengguna lebih banyak pilihan ketika memilih produk.