Janji BN mahu memberikan royalti minyak sepenuhnya kepada kerajaan Kelantan dipertikaikan
Menurut Ketua Pemuda Parti Amanah Mohd Sany Hamzah janji tersebut sepatutnya dilaksanakan ketika BN masih berkuasa. Sedangkan ketika berkuasa 10 peratus royalti pun tidak pernah diberikan.
“Kenapa tidak dilakukan dulu masa BN memerintah negara lebih 60 tahun, bila rakyat sudah hukum (pada PRU14) baru terhegeh-hegeh untuk cari rakyat semula.
“Bagi saya ini semua satu kenyataan untuk gula-gulakan rakyat, untuk memancing rakyat mengundi Muafakat Nasional dalam PRU akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk memberikan royalti minyak sepenuhnya sekiranya gabungan parti itu dan PAS yang dikenali sebagai Muafakat Nasional berjaya membentuk kerajaan pada PRU ke-15 nanti.
Zahid berkata, tawaran baru itu akan dilaksanakan sekiranya rakyat memberi kepercayaan untuk parti itu kembali menerajui negara.
“Insya-Allah tawaran baru kita akan berikan apabila rakyat memberikan kepercayaan semula kepada kita dengan kerjasama PAS atas nama Muafakat Nasional.
“Bukan setakat royalti minyak sebagai mana dituntut kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan, kita akan berikan sepenuhnya royalti minyak kepada negeri Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan serta Pahang dan negeri-negeri yang lain.
“Hari ini di majlis kongres Umno Terengganu, yakinlah resolusi menuntut royalti minyak dibayar penuh kepada Terengganu. Insya-Allah dalam tawaran baru yang akan kita laksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Negeri Terengganu.
Bagaimanapun, Zahid tidak menyatakan jumlah peratusan royalti yang akan diberikan.
Sementara itu, Sany berkata rakyat mampu menilai dan tidak akan terpedaya dengan tawaran yang dikemukakan bekas timbalan perdana menteri itu.
Katanya, apa yang dicadangkan Zahid sedang dilaksanakan oleh Pakatan Harapan (PH) selaku Kerajaan Persekutuan seperti mana janji yang terkandung dalam manifesto.
“Kenyataan Zahid itu seperti orang yang tertinggal bas, sebab apa yang diperkatakannya sudah dilaksanakan oleh kerajaan PH sekarang ini,
“Rakyat sudah bijak dan matang, tidak akan memilih lagi pemimpin yang rasuah dan mencuri, merompak duit rakyat,” katanya lagi.
Pada kempen PRU14 lalu, PH berjanji untuk memberikan 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar petroleum
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan “menunaikan janji” dengan memberi 20 peratus royalti minyak berdasarkan keuntungan dan bukannya penghasilan.