Keputusan Kerajaan Terengganu untuk ‘menggempur’ penjaja di persimpangan lampu isyarat di seluruh negeri bermula hari ini sehingga 31 Disember menerima kecaman ramai.
Tinjuan di laman Facebook Sinar Edisi Terengganu mendapati, rata-rata warganet mempersoal tindakan itu yang menurut mereka seolah-olah menutup pintu rezeki warga tempatan.
“Biarlah orang melayu nak cari rezeki…kalau kita orang melayu tak tolong bangsa melayu….siapa lagi nak tolong….sekarang ni kan susah nak cari pekerjaan….hati kena baik,” kata Nuriah Abd Halim.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Wan Hapandi Wan Nik sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat disebabkan tempoh akhir dibenarkan untuk aktiviti perniagaan itu telah berakhir November lalu.
Difahamkan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan peraturan-peraturan antaranya Peraturan Lalulintas 1959 di bawah Akta Pengangkutan Jalan, Undang-Undang Kecil Penjaja di bawah Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan, Akta Kawalan Harga & Anti Percatutan 2011 serta Perintah Perlabelan Barang Sedia Bungkus 1993.
“Operasi itu akan melibatkan pelbagai agensi kerajaan iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK),” kata ADUN Sura itu dipetik laporan media.
Tambah Wan Hapandi, mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu bakal berdepan kompaun sekurang-kurangnya RM200 dan rampasan barang atau denda sehingga RM100,000 dan penjara sekiranya didakwa di mahkamah.
“Aku Rasa tak perlulah kerajaan negeri buat operasi menyekat rakyat mencari rezeki halal..sepatutnya kerajaan menyediakan peluang kerja dahulu..mereka bukan jual dadah ketum syabu ice,” kata Muhd Alle pula.
Sebelum ini, Pengerusi KEADILAN negeri, Azan Ismail, berkata tindakan menghentikan serta merta aktiviti perniagaan jalanan oleh kerajaan negeri dianggap keterlaluan dan cuba menyekat peniaga jalanan yang mencari rezeki.
Katanya, kerajaan negeri sepatutnya faham keadaan ekonomi yang kurang rancak sehingga menyebabkan peluang pekerjaan untuk golongan belia terhad sebelum mengeluarkan larangan menghentikan serta-merta aktiviti perniagaan jalanan. – RF8 Media