Peralihan kuasa menjadi perkara yang semakin meluas dibicarakan dalam kalangan rakyat.
NGO Otai Reformasi tidak terkecuali menganjurkan forum bertajuk “Dr M lepas jawatan Mei 2020?” malam tadi di bilik persidangan restoran Amjal, Kuala Lumpur.
Membariskan 5 panel dan 3 daripadanya sering berucap di media sosial forum itu menjadi medan meminta secara ‘keras’ Tun Mahathir berundur genap 2 tahun selepas Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum ke 14 pada Mei ini.
Penulis buku “Anwar PM ke-8”, Shahbudin Husin berhujah punca Dr Mahathir berani berlengah-lengah untuk mengumumkan tarikh persaraannya adalah kerana Majlis Presiden PH tidak berfungsi secara sewajarnya.
Beliau berkata sekiranya Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa lebih awal, hal itu tidak akan menganggu pentadbiran kerajaan.
Menurut Shahbudin, berbeza ketika Mahathir mahu melepaskan kuasa kepada Abdullah Badawi pada 2003 lalu, ketika itu Pak Lah merupakan timbalan perdana menteri dan banyak ‘benda’ boleh ditawarkan kepada sesiapa yang mengampu beliau.
Hari ini, katanya sinis, Anwar hanyalah ahli parlimen biasa. Jika seseorang bertemu beliau maka hanya teh secawan yang akan diperolehi.
Oleh itu, beliau mempersoalkan fungsi sebenar Majlis Presiden yang sebelum PRU 14 lalu bertaring tetapi kini menikus.
“Kenapa Majlis Presiden PH boleh berfungsi untuk pilih siapa calon perdana menteri dan pembahagian kerusi, tetapi tidak menetapkan tarikh peralihan kuasa.
“Bermula malam ini, kita akan mulakan gerakan untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa seperti mana Mahathir janjikan,” katanya tegas.
Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad pula mempersoalkan prestasi Kabinet yang dipimpin Mahathir tidak berupaya memperbaiki ekonomi negara dan seharusnya ketua kabinet tersebut berundur.
“Kalau syarikat ada CEO baru, diberi tempoh masa 6 bulan. Ini sudah setahun setengah tak ada tanda-tanda tunjukkan keadaan makin pulih.
“Tentang politik sekarang amat sedih, tengoklah DAP, kenyataan Lim Guan Eng dan Amanah oleh Mohamad Sabu. (Mereka) buat pusingan U sebab apa,” katanya.
Idris berkata kebanyakan menteri Kabinet “dipegang” Mahathir sehingga tiada yang berani menyuarakan mengenai tarikh peralihan kuasa perdana menteri.
“Style Mahathir biarkan mereka lakukan kesalahan, tetapi fail dia pegang,” katanya.
Menerusi persefahaman pimpinan PH, Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai perdana menteri ke-8.
Pada 14 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan jika presiden parti dalam PH memintanya berbuat demikian.
Tarikh peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar terus menjadi perbincangan sejak kebelakangan ini susulan tempoh 2 tahun yang disebut-sebut sebelum ini hampir tamat.
Namun Anwar sebelum ini berkata beliau dijangka mengambil alih jawatan itu daripada Mahathir pada tahun ini cuma tidak pasti tarikh yang tepat.