Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam ini mungkin lebih tertumpu kepada cadangan rombakan kabinet berbanding perlaihan kuasa yang dilihat agak mudah diselesaikan.
FMT dalam tinjauan kepada dua pemimpin PH membayangkan rombakan kabinet menjadi agenda utama yang mungkin memakan masa perbincangan.
“Topik rombakan Kabinet akan dikemukakan untuk perbincangan,” kata seorang daripada 2 pemimpin itu dipetik FMT.
Menurut mereka, mesyuarat itu ialah pendahuluan kepada sesi Majlis Presiden PH yang akan dihadiri Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Preisden PPBM, Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Menurut beliau, kehadiran penasihat PKR, Wan Azizah yang bukannya ahli Majlis Presiden PH ialah petunjuk topik rombakan Kabinet mungkin dibangkitkan.
“Sudah tentu, Mahathir boleh merombak Kabinet secara sah tanpa memberitahu sesiapa, tetapi beliau mungkin secara dasarnya meminta persetujuan mereka,” kata seorang daripada sumber itu.
Katanya, mesyuarat itu mungkin membincangkan pelan peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar, jika ada hadirin yang membangkitkan isu berkenaan yang tiada dalam agenda mesyuarat terbabit.
Kedua-dua sumber itu berkata, Mahathir yang mencadangkan mesyuarat itu diadakan dan ia mungkin kerana beliau merasakan ada keperluan memperkukuhkan Kabinetnya dan memaklumkan pemimpin lain mengenai rancangannya.
Topik rombakan Kabinet timbul sejak beberapa bulan lalu dan spekulasi mengenainya sering diperkatakan sejak 2 Jan lalu apabila Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan.