Selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya seorang pemimpin yang boleh membawa gabungan politik itu kembali ke landasannya dan mendapat sokongan rakyat terutama golongan muda yang anti kleptokrasi
Menurut M. Manogaran, Timbalan Pengerusi DAP Pahang, hanya Presiden PKR, Anwar Ibrahim sahaja yang mampu menggalas perjuangan PH mengembalikan maruah negara dan di pandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa
“Mulai sekarang kita semua dalam PH dan juga para penyokong PH hanya perlu memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim. Hanya beliau sahaja sebagai ketua pembangkang dalam usaha PH mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
“Kita perlu tekadkan usaha untuk menyatukan rakyat berbilang kaum serta menggembeleng tenaga semua golongan masyarakat dalam rancangan kita,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Beliau berkata lagi, semua pihak dalam PH perlu menyedari kesilapan yang telah dilakukan sejak memenangi PRU14 agar tidak mengulanginya.
“Rakyat kini sudah berasa amat berang dengan pemimpin-pemimpin yang mengkhianati mandat . Ramai yang berkata mesti ada undang-undang untuk menghukum orang yang melompat parti atau mengubah kesetiaan kepada koalisi. Kalau tidak, perkara ini akan kerap diulangi dan tidak berbaloi untuk rakyat mengundi dalam mana-mana pilihan raya
“Wujudnya pendirian YB-YB yang sering berubah akan menguatkan lagi permainan percaturan politik dan juga mencemarkan nama baik negara serta boleh mengakibatkan ketidakstabilan jangka panjang,” kata Manogaran.
Beliau menggesa semua pemimpin PH yang masih setia supaya mula merancang strategi untuk PRU15 yang akan diadakan dalam masa lebih kurang 3 tahun lagi.
“Pasti cabaran yang akan dihadapi oleh PH adalah amat sukar kerana tahun ini pun ekonomi dunia sudah jatuh merudum dan negara kita menerima kesannya.
“Justeru itu, apabila tiba masa PRU15, cabaran ekonomi dan situasi kewangan negara akan lebih tertekan lagi,” tambah beliau.