Mesyuarat Bersatu malam tadi mungkin tidak berjaya mengambil keputusan penting apabila beberapa anggota MPT yang dianggap pro kepada Dr Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan mesyuarat selepas hampir dua jam berlangsung.
Antara yang dilihat keluar mesyuarat pada jam 10.45 malam tadi ialah Ahli MPT Bersatu, Abu Bakar Yahya, Ketua Penerangan Armada, Ulya Husamudin, pemimpin lainnya Akramsyah Sanusi dan Tariq Ismail.
Menurut Malaysiakini mereka menyatakan tidak berpuas hati dengan beberapa isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut.
Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masih lagi pengerusi Bersatu dan timbalan presiden parti yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir tidak dijemput menghadiri mesyuarat malam ini.
Mesyuarat itu merupakan mesyuarat MPT pertama dihadiri oleh Muhyiddin setelah perdana menteri itu selesai menjalani kuarantin selama 14 hari yang berakhir semalam, susulan seorang pegawai yang hadir mesyuarat pascakabinet di pejabatnya disahkan positif Covid-19.
Sebelum itu, Anggota MPT Bersatu A Kadir Jasin menolak jemputan untuk hadir mesyuarat malam ini, berkata hanya pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad yang boleh memanggil mesyuarat itu diadakan.
Kadir juga menegaskan bahawa panggilan untuk bermesyuarat malam ini melanggar arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melarang diadakan sebarang aktiviti.
Bagaimanapun, ROS pada suatu kenyataan kemudian menjelaskan telah memberikan lampu hijau untuk Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu malam ini.
ROS berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilonggarkan kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai 1 Mei lalu.