Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak wajar dipimpin oleh ahli parlimen sekiranya mahu mencapai taraf antarabangsa dan mampu menghasilkan kecekapan pengurusan
Bekas menteri Rafidah Aziz berkata “sesetengah orang” yang mentadbir negara harus kembali kepada asas-asas pentadbiran untuk mencapai aspirasi bangsa dan rakyat.
“Bukan hanya dengan melantik individu di mana-mana jawatan kosong, dikosongkan, atau jawatan yang diwujudkan.
“Tetapi untuk mentadbir berpandukan integriti, kejujuran, tanggungjawab, akauntabiliti, dan kerja berpasukan, tidak dipandu oleh cita-cita dan matlamat peribadi untuk menjejaskan negara,” kata Rafidah dalam kiriman Facebooknya hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata ahli parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan ketika ini akan dijadikan ketua GLC.
“PAS mempunyai 18 ahli parlimen, lapan adalah menteri dan timbalan menteri, seorang telah menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
“Ini bermakna ada sembilan lagi ahli parlimen. Alhamdulillah, saya faham semua ahli parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab untuk mengurus GLC.
“Ini kerana mereka semua layak, mereka adalah ahli parlimen,” kata Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS.
Dengan pengumuman terbaru di tengah-tengah pandemik Covid-19 itu, Rafidah berkata negara sedang bergerak ke belakang.
“Jelas sekali, ‘gear undur’ telah dimasukkan dan di sini kita sedang bergerak ke belakang.
“Semasa pandemik global Covid-19 yang sangat serius, wakil kerajaan bercakap mengenai jawatan yang selesa untuk semua orang di dalam kumpulan mereka,” kata Rafidah yang juga bekas pemimpin Umno.
Beliau juga membidas kerajaan kerana mencadangkan kedai gunting rambut beroperasi semasa perintah pergerakan kawalan (PKP).
“Malah tukang gunting itu sendiri tidak mahu (untuk bekerja semasa PKP),” katanya.
Rafidah menasihati pemimpin dalam kerajaan untuk serius memerintah negara.
“Kita mesti mensasarkan sokongan dan bantuan kepada pemacu ekonomi utama negara dan program-program tersebut harus berdasarkan kesaksamaan dan keadilan.
“Kita mesti mempunyai pilihan masa dan senario yang bergerak ke hadapan supaya kita ada ketangkasan untuk menyesuaikan diri dengan cepat dan memulakan langkah-langkah dasar yang baru dan lebih baik,” katanya.
Antara ahli parlimen yang dilantik menerajui GLC termasuklah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran baru, menggantikan K Saraswathy yang merupakan seorang peguam.
Sementara Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah yang setaraf dengan kedudukan menteri.