Badan penyelidikan sokongan pengundi Ilham Centre mengeluarkan hasil kajian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah selama 2 minggu.
Menurut badan itu, berdasarkan sampling yang mereka ambil dari seluruh Sabah pola pengundian amat sukar untuk ditentukan kerana terlalu banyak calon bertanding dan penjajaran semula politik.
Namun rumusan dari dapatan mereka mendapati Warisan Plus berada di hadapan dan dijangka mampu untuk mendapat simple majority 37 kerusi bagi membentuk kerajaan baharu.
“Berdasarkan cerapan lapangan, Warisan Plus mendahului dengan 23 kerusi yang boleh dikatakan kerusi ‘clear winner’ diikuti rapat dengan GRS sebanyak 19 kerusi. Selebihnya terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti lain.
“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk Kerajaan Negeri yang baharu. Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah.
“Oleh itu PRN masih lagi menjadi medan yang terbuka bagi PRS dan Warisan Plus sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang pada Sabtu 26 September 2020. Mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada pihak mereka,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan panel penyelidikan Ilham Centre semalam.
PRN Sabah melibatkan pertandingan di 73 kerusi dan 16 parti politik, menjadikan PRN itu paling rumit dalam sejarah Malaysia.