Penyanyi dan pelakon Dayangku Intan atau nama sebenarnya Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid merupakan seorang artis yang terkenal di penghujung 1980an. Beliau popular dengan lagu “Semakin Rindu Semakin Sayang” dan beberapa buah lagu lain.
Beliau pernah menggemparkan negara dengan memfailkan saman ganti rugi RM3.9 juta terhadap Menteri Pelancongan dan Kerajaan Malaysia kerana memungkiri perjanjian kontrak.
Dayangku Intan membuat keputusan untuk menyertai KEADILAN dalam majlis makan malam Senandung Reformasi 13 pada 8 April lalu di Hotel De Palma, Shah Alam. Borang keahliannya diserahkan kepada Presiden Parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
S: Intan sudah lama dalam bidang seni di Malaysia. Hari ini Intan buat keputusan untuk sertai Parti Keadilan Rakyat. Kenapa keputusan ini dibuat?
Intan: Sebenarnya sebagai seorang rakyat yang taat kepada negara, saya memerhati. (Perubahan ini) bukan (saya buat) untuk diri saya tetapi untuk generasi akan datang. Kita tengok tadi (tayangan) video kekejaman yang berlaku. Saya rasa malu melihat kejamnya pemerintah. Kita boleh fikir, kita orang bijak. Allah beri kita akal sempurna. Boleh pilih mana yang buruk dan yang baik. Saya lihat keadaan negara ini semakin membangun, semakin memburuk.
Kita diajar perbuatan kita dibayar. Pemilihan kita dibayar. Saya tak suka dan saya tak mahu anak saya jadi seperti itu. Jadi malam ini satu keputusan yang berat saya lakukan dalam hidup (sertai pembangkang). Saya bernikah pun tak rasa macam ini (ketawa). Tetapi ini perjuangan yang harus kita buat. Kepada rakan yang rasa perjuangan saya ini kurang pintar, saya katakan mereka salah.
S: Intan kata ini satu perjuangan, maknanya bukan suka-suka tukar parti?
Intan: Bukan. Saya sebagai rakyat mencari keadilan. Kalau di sini (KEADILAN) wujud keadilan, kita akan terus di sini, kita mahu keadilan itu.
S: Apa yang mendorong Intan berjuang di pihak Pakatan Rakyat?
Intan: Saya terlampau banyak lihat remaja teraniaya tanpa sebab. Saya sebagai ibu kalau boleh anak-anak saya membesar dalam keadaan harmoni. Pernah berlaku (ketidakadilan) kepada anak saya, keluarga saya. Mereka gunakan kuasa sewenang-wenangnya. Tuduh-menuduh untuk menutup kesilapan mereka.
S: Apakah masalah remaja sekarang ini? Terutama kalau kita rujuk di kalangan artis atau di kalangan remaja secara umumnya?
Intan: Mereka banyak terabai dari apa segi sekali pun. Dalam pelajaran, aspek kekeluargaan dan sebagainya. Saya sebagai penjaga diajar untuk berlumba mencari peluang. Berlumba ke hadapan tanpa melihat ke belakang. Jadi bukan salah remaja jika bermoral buruk. Salah kita yang membimbing dan tunjuk ajar mereka.
S: Golongan artis seperti tidak mempunyai kesedaran mengenai perkara di sekeliling. Mungkin nanti ada yang kata tindakan Intan sertai pembangkang ini satu risiko . Akan di black list dan pintu rezeki tertutup
Intan: Rezeki Allah yang beri. Selama ini saya berusaha bersama suami. Kami tidak meminta-minta, bagi saya projek ini, beri saya projek itu. Tak marah pun kalau tak dapat projek. Kalau tak dapat projek, tak lompat parti macam yang sering berlaku kebelakangan ini. Saya tidak macam itu.
Artis sebenarnya mungkin tahu (kebejatan politik), tetapi mungkin mereka takut. Nasihat saya, dalamilah keadaan sebenar. Saya rasa kawan-kawan juga ada a lot of frustration, tetapi tidak diluahkan . Jangan takut menegakkan kebenaran. Kadang-kadang setelah kita berpenat lelah dan bertahun-tahun muka keluar di kaca televisyen, tetapi pendapatan (bayaran) tidak menyenangkan. Di manakah keadilan untuk artis?
S: Apakah Intan meletakkan harapan bahawa Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat akan membuat sesuatu perubahan?
Intan: Saya harap begitulah. Saya juga memohon agar kita semua memperjuangkan keadilan. Kita inginkan perubahan untuk seluruh rakyat tidak mengira bangsa dan agama. Kita mahu perubahan dari semua aspek.
S: Apakah Intan rasa boleh menyumbang sesuatu dalam perjuangan? Adakah akan meneruskan kerjaya seni setelah berubah wadah?
Intan: Seni anugerah Allah. Seni akan saya teruskan dalam perjuangan yang bersih. Yang kita inginkan kebersihan . Saya minta Allah lindungi saya dan beri hidayah kepada semua sahabat. Kita punya akal dan minda yang cerdik . Kita cuma perlu duduk sejenak dan fikirkan yang terbaik (untuk diri, keluarga dan negara).