Sidang Parlimen 5 hari bermula 26 Julai ini mendapat kritikan hebat Ahli-ahli Parlimen berikutan tempoh yang singkat sehingga tidak mungkin diadakan perbahasan berkaitan hal ehwal negara dan kesensaraan rakyat menghadapi pandemik Covid 19.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan agar kerajaan Perikatan Nasional agar tidak cuba bersandiwara membuka parlimen seperti ‘melepas batuk ditangga’
Katanya, Parlimen sebagai badan semak dan imbang perlu dilaksanakan secara bermaruah dan tidak boleh dibiarkan berfungsi sebagai “rubber stamp”.
“Parlimen akhirnya akan bersidang selama 5 hari, itu pun setelah desakan, asakan rakyat dari bawah, Ahli Parlimen sehinggalah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
“Inilah betapa teruk, parahnya Perdana Menteri dan kerajaan sekarang. Jadi persoalan yang kita bangkitkan, pertama, untuk apa sidang Parlimen?
“Sidang Parlimen adalah untuk memastikan kerajaan itu ditadbir menurut peraturan tatakelola urustadbir baik supaya jangan ada penyalahgunaan kuasa dan ada semak dan imbang
“Tetapi apa yang cuba dilakukan, saya rasa satu bentuk penipuan adalah kerana (percubaan) memendekkan sidang dan menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang, ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tidak ada petunjuk akan ada perbahasan terbuka,” katanya dalam siaran di Facebook, petang ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memberi amaran Kerajaan PN jangan memperalatkan Speaker Dewan Rakyat untuk menghalang perbahasan atau mencemar peraturan sidang.
“Saya ingin beri peringatan kepada PM dan kerajaan, dalam keadaan kamu terumbang ambing ini jangan peralatkan Speaker Dewan Rakyat, yang juga harus diberi peringatan bahawa kita tidak akan pandang ringan.
“Soal Covid 19, soal kebajikan rakyat, soal salah guna kuasa, ini bukan soal ringan. Jangan cuba mengguna peraturan secara sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi berparlimen, iaitu menggunakan Parlimen sebagai medan bahas untuk menjaga Perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah dan menjalan tugas dan kuasa mengikut undang-undang.
“Dan tidak mencemarkan undang-undang serta penyalahgunaan kuasa dengan rasuah dan segala kebobrokan yang kita lihat sekarang,” katanya lagi.