Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sesi mesyuarat khas Parlimen hari ini yang ditetapkan tanpa sesi pengundian.
Katanya, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun telah melakukan perkara luar biasa apabila menggunakan peraturan peruntukan 11 (3), iaitu menteri memberi penerangan, tiada perbahasan dan tiada pengundian.
“Nak belanja puluh bilion tak ada undi, nak tanya pasal Covid setuju tak setuju tak ada undi. Lebih kritikal Ordinan Darurat yang sepatutnya tamat 31 Ogos dan Perdana Menteri sampai hari ini belum beri pengakuan bahawa Darurat akan tamat pada 1 Ogos.
“Yang Dipertua ambil kira hal lain. Yang kita persoalkan adalah Darurat, soal perbahasan dan soal sidang Parlimen biasa. Bukan sahaja dari saya, ketua-ketua pembangkang yang lain DAP, Amanah, Pejuang Warisan, Muda dan saya teliti kenyataan presiden Umno sendiri, yang minta bahas soal darurat.
“Maknanya ia tidak lagi suara kecil, suara majoriti rakyat dan Speaker nak berlindung di bawah peraturan mesyuarat yang mengenepikan semangat Perlembagaan.
“Jangan kita dalam keadaan penafian, semua ok, tak apa cari peraturan kecil berlindung selamatkan diri. Ini bukan nak selamatkan orang, ini nak selamatkan negara dan rakyat,” katanya dalam Dewan Rakyat, pagi tadi.
Anwar juga menyentuh mengenai situasi di Selangor yang amat membimbangkan tetapi Kerajaan Persekutuan melalui Darurat telah mengambilalih kuasa menangani Covid 19 dari Kerajaan Negeri temasuk penutupan kilang-kilang diletak di bawah Majlis Keselamatan Negara.
Ahli parlimen Port Dickson itu mencabar kerajaan memberi kelonggaran kepada Selangor untuk melanggar beberapa peraturan Darurat terutama mengenai kuasa Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani wabak penyakit.
“Timbalan PM sebut kerajaan tempatan tiada kuasa, bila ada darurat MKN dan keputusan kerajaan kerajaan mengatasi. Sekarang berdalih nak mengatakan ini (kuasa) Selangor dan kerajan tempatan.
“Kalau begitu apakah cadangan kerajaan, supaya Selangor melanggar perisytiharan Darurat. Saya mahu penjelasan TPM mahukan dia meminta kerajaan Selangor sekarang mengambil tindakan melanggar perintah Darurat yang beliau buat,” katanya lagi.