Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin tidak lagi mampu menggunakan akal rasional dengan menutup terus Parlimen mulai hari ini untuk tempoh dua minggu dengan alasan berlaku jangkitan Covid 19.
Menurut Presiden Amanah, Mohamad Sabu, PM Mahiaddin melawan semua pihak di sekitarnya sama ada pembangkang, rakyat sehinggalah Yang di-Pertuan Agong demi mengekalkan kuasa.
“PM sudah gila, dia lawan Parlimen, Raja, Yang di-Pertuan Agong. Kita tak boleh bersidang. Kami Pembangkang atau pemerintah tetap jadi Ahli Parlimen.
“Dalam keadaan (kucar kacir) seperti ini pelabur mana nak datang? Politik lebih teruk dari Zimbabwe (suatu ketika dahulu). Kalau Zimbabwe presidennya masih hidup mereka pun malu dengan Malaysia
“Kami lama dalam Parlimen tak pernah rasa seperti ini. Mahiaddin mesti pergi. Dia langgar peraturan, Raja Melayu dan paling penting langgar rakyat
“Semua termasuk Umno juga perlu mengambil sikap sekarang ini,” katanya dalam ucapan di Dataran Merdeka, pagi tadi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula mempersoalkan apakah yang ditakuti oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tujuan sidang Parlimen hari ini adalah untuk membincangkan isu rakyat dan Covid 19, bukannya melakukan usul Undi Tidak Percaya.
“Hari ini 2 Ogos, Malaysia bebas dari darurat. Malaysia pun nak bebas dari kemelesetan ekonomi. Malaysia nak bebas dari kerajaan gagal. Malaysia nak bebas dari PM yang langgar rakyat, Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan
“Sampai masanya ita serahkan kepada Parlimen dan rakyat. Hari ini bukan kita nak buat Undi Tak Percaya. Kita nak bincang masalah rakyat di Parlimen,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Mahathir Mohamad juga menyokong himpunan Ahli Parlimen menolak Mahiaddin hari ini yang dianggap beliau sebagai detik hitam dalam sejarah.
Katanya, hari ini pertama kali sejak merdeka Ahli Parlimen tidak dibenarkan masuk bersidang.
“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia Ahli Parlimen tidak boleh pergi ke Parlimen.
“Saya bersama dengan yang lain, saya sokong. Apa patut kita hadapi sekarang ialah untuk bincang Darurat seperti jadual.
“Tetapi inilah kerajaan Mahiaddin tak bagi bercakap (dalam Parlimen), tak bagi bercakap di luar Parlimen. Apa nak jadi negara kita? Ini PM sepatutnya tak jadi PM. Saya harap rakyat faham mengapa kita buat pendirian ini. Hari ini negara tidak ada kerajaan,” katanya.
Selain itu, Tun juga mengimbau pindaan Perlembagaan Persekutuan yang beliau buat pada 1990an lalu yang mempersembahkan rang Undang-undang (RUU) kepada Yang di-Pertuan Agong setelah diluluskan Dewan Rakyat. Sekiranya Agong tidak perkenan maka RUU itu kembali ke Dewan Rakyat untuk disemak.
Namun, katanya, kerajaan PN dalam memansuhkan Ordinan Darurat tidak melakukan hal berkenaan. Memansuhkannya secara sepihak.
“Ikut pindaan kita buat dulu dewan mesti bincang. Kalau Raja tak lulus dalam dua bulan, baru jadi undang-undang.
“Ini (kerajaan Mahiaddin) tak bawa ke Raja. Raja tak setuju dah jadi undang-undang. Tak ikut peraturan.
“Saya harap rakyat akan tolak orang semacam ini dari pegang apa jawatan pun. Jauh sekali jadi PM,” katanya.