Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 tidak menyediakan kerangka menyeluruh dalam Rancangan Malaysia Ke (RMK) 12 mengenai hala tuju pekerjaan anak muda.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, ketiadaan kerangka menyeluruh peluang pekerjaan anak muda hanya akan merugikan masa hadapan pelajar di negara ini, dan mengurangkan potensi mereka untuk menjadi pekerja berskil tinggi.
“Apa saya lihat dalam RMK 12 tidak ada perancangan dalam bentuk ke mana hala tuju mereka. Kalau kita melihat sejarah, jika ayah pemilik bengkel motorsikal anak sudah tentu menjadi mekanik. Itu sudah jadi semacam chemistry
“Tetapi dalam soal pekerjaan anak muda ini, apa chemistry yang kita beri supaya lunakkan mereka untuk menghadapi masa depan? Apa yang saya lihat dalam RMK 12 ia menyentuh beberapa aspek tetapi secara dasar tidak peringkat jawatankuasa. Contohnya TVET dari dulu saya bercakap apa salahnya TVET diperkasakan dengan memberi ruang kepada anak muda berdasarkan minat mereka
“Misalnya TVET digital, yang teknikal atau kemahiran tadi letak kat mana? Saya tak nampak benda ini ada kesungguhan. Dari dulu sampai kini tiada reform untuk anak muda. Mereka tak tahu ke mana untuk pergi. Habis sekolah tenggelam punca tak tau mana,” katanya.
Tambah Abdullah Sani, ketiadaan penyediaan anak muda ke alam pekerjaan menyebabkan pihak swasta lebih mudah mengambil tenaga kerja asing, malah dalam bidang kemahiran dan pekerjaan berasaskan teknologi sekalipun.
Menurut beliau Kerajaan Pakatan Harapan pernah berusaha untuk memperbetulkan keadaan, namun kandas pada Februari 2020 apabila berlaku pengkhianatan
“Kita nak pinda Akta Perusahaan dan Akta Pekerja, tak lepas. Sebab di situ ada hubung kait dengan pemain (pekerja) profesional dan pemain amatur.
“Di mana kita nak bawa pekerja ini? Menteri Sumber Manusia telah memperkasakan TVET untuk menjadi peluang anak muda tetapi berlaku ketika itu pandemik dan terpaksa ditangguhkan. Kemudian tukar kerajaan, tukar menteri,” katanya.
RMK 12 pula, kata Abdullah, tidak boleh diharapkan menyelesaikan masalah berkenaan kerana cara penggarapan RMK adalah untuk menyelesaikan masalah RMK terdahulu. Bukannya mencari pendekatan baharu berasaskan perkembangan semasa.
Mengenai masalah penganguran berikutan pandemik ke atas pekerja, Abdullah menyambung, kerajaan PN perlulah menyemak angka pengangguran yang betul dan membuat perancangan mengatasinya.
“Pengganguran ada dua peringkat. Satu total menganggur dan satu lagi part time menganggur. Kerja 2 – 3 jam atau panggil 2 -3 hari kemudian. Ini berjuta banyaknya.
“Ini (part time) tak masuk dalam kumpulan yang diiktiraf Akta Pekerja, bekerja 48 jam seminggu. Tetapi dikira orang yang berkerja sejam sehari, kerja online pun dianggap berkerja. Maknanya angka pengangguran 700,000 itu tidak betul. Jauh lebih besar.
“Apa yang kita rumuskan kenapa kerajaan tidak melakukan penambah baikkan. Kalau 700,000 penganggur kenapa angka tidak turun masih dalam lingkaran itu. Maknanya kerajaan tidak buat apa-apa,” katanya.
Manakala menjawab penambahan 500,000 peluang pekerjaan, tegas Abdullah, kerajaan tidak menjelaskan dari manakah peluang itu akan di perolehi. Apakah sektor yang akan menjanjikan peluang pekerjaan tersebut.
“Katanya nak sasarkan peluang pekerjaan 500,000. Kita tanya dari mana datangnya peluang ini?
“Kilang dah banyak tutup, pelabur lari keluar negara. Orang sanggup melabur di Indonesia dan Vietnam sebab kerajaan tidak diyakini.
“Menteri MITI peranan besar tetapi saya tengok MITI ini duduk ‘pening lalat’. Tak ada langsung benda yang menjurus penambahan 500,000.
“Adakah berlaku, misalnya MITI panggil pemain industri sebelah Eropah, Arab atau China? kata Qatar akan melabur, mereka labur di Singapura. Umum RM107 bilion pelaburan masuk Malaysia. Datang dari mana datang? Kalau terus main retorik macam ini maka terkandaslah,” katanya lagi.