Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 2.0 disaran memberi ruang kepada parti-parti pembangkang menggunakan media milik kerajaan atau arus perdana kerana kempen secara tradisional dilarang oleh Kementerian Kesihatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, tidak mungkin sesebuah PRN memberi makna kepada pengundi andainya mereka tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai tawaran-tawaran dari parti yang bertanding sebelum hari pembuangan undi.
“Dalam Dewan Rakyat kita bangkitkan perkara ini dan meminta media tradisional seperti RTM, TV3 diberikan ruang kepada rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) dan semua parti yang bertanding secara secukupnya untuk berkempen menggunakan media sedia ada.
“Namun saya melihat cabaran itu bukan sekadar diberi ruang dalam media milik pemerintah. Cabaran utama adalah untuk memastikan mesej dapat sampai ke setiap pengundi. Apa maknanya PRN kalau pengundi tidak mendapat maklumat sepenuhnya sebelum membuat keputusan
“Sudah pasti kita perlu kempen meluas sebelum pengundi keluar dan mereka diyakinkan dengan program kerja, manifesto parti bertanding. Kalau rakyat tidak mengetahui maka ia tidak menjadi proses demokrasi yang berjalan dengan baik,” katanya dalam bual bicara bersama Sumberkini malam tadi.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu turut menasihati kerajaan PN agar melihat perjalanan pilihan raya di negeri jiran Singapura yang membenarkan media kerajaan digunakan oleh semua pihak bagi mengumumkan manifesto serta gerak kerja yang akan mereka lakukan sekiranya dipilih sebagai kerajaan.
“Kalau tengok Singapura yang mengadakan pilihan raya, mereka berikan ruang kepada semua parti bertanding dan peluang itu diolah dalam bentuk perdebatan, kempen dan sebagainya bagi membantu pengundi mendapat mesej yang jelas.
“SOP Menteri Kesihatan (yang dikeluarkan) bagi saya tidak masuk akal. Bagaimana kita buat PRN jika tidak boleh kempen. Di Melaka sekarang masuk Fasa 4, 90% orang dewasa divaksinasi. Saya tidak nampak apa sebabnya untuk tidak membenarkan kempen,” katanya.
Menjawab adakah pemimpin PH telah meminta kelonggaran kepada kerajaan, terutama kempen yang tidak melibatkan banyak rakyat, Shamsul berkata dalam pertemuan di antara pemimpin PH dan Perdana Menteri hal itu telah disuarakan.
“Baru-baru ini ada pertemuan dengan PM dan saya percaya itu telah disampaikan dan kita mendapat jaminan dari PM akan memberi keputusan pada Ahad ini. Jadi kita tunggu sama ada wujud kelonggaran SOP.
“Kalau kita lihat Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini, walau KEADILAN tidak bertanding kerana kes Covid tinggi namun dalam PRK itu kempen rumah ke rumah dibenarkan, setiap kempen itu dalam 3 – 4 orang. Hal itu munasabah.
“Waktu Covid ini pun saya di Hang Tuah Jaya turun ke rumah rumah untuk memberi bakul makanan, tentunya saya bawa 2 – 3 pembantu dan itu berlaku setiap hujung minggu.
“Setakat ini belum ada lagi pegawai saya dijangkiti Covid. Kalau tak boleh rumah ke rumah, tidak boleh kempen kelompok, itu amat tidak masuk akal,” katanya lagi.