Kerajaan BN dipersoalkan kerana ghairah membina projek Sistem Transit Aliran Sederhana (MRT) 3 dengan modal sebanyak RM50 bilion sedangkan projek MRT 1 yang telah siap masih belum mencapai matlamat penggunaan.
Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata, projek tersebut hanya akan membebankan kewangan negara kerana MRT 1 masih lagi belum mencapai tahap guna penuh.
Isu yang perlu ditangani, katanya, adalah menyambungkan MRT dan LRT, bukannya membina jaluran MRT yang baharu.
“Bagaimana MRT 3 dapat mencapai sasaran “ridership”, sedangkan MRT 1 masih gagal mencapai sasaran? Kenapa kerajaan tidak melabur dalam memperbaiki ketersambungan (connectivity), kebolehcapaian (accessibility) dan keboleharapan (reliability) lingkaran MRT dan LRT yang sedia ada sebelum membina lingkaran MRT 3 yang jauh lebih mahal?
“Saya menyeru kerajaan merujuk dan membentangkan butiran projek MRT 3 ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Parlimen serta Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, agar ahli-ahli parlimen berpeluang membahas projek mega ini dengan teliti.
“RM50 bilion merupakan jumlah yang sangat besar terutamanya dalam era pasca Covid ini. Maka, projek MRT 3 wajib diteliti dan dipantau oleh Parlimen untuk memastikan wang rakyat dibelanja dengan lebih cermat dan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan
Menurut Lih Kang lagi, proses tender yang bermula pada Mei 2022 oleh MRT Corp adalah terlalu tergesa gesa apatah lagi dengan tidak mengambil kira kedudukan nilai ringgit yang tidak kukuh dan berkemungkinan kos akan bertambah sekiranya mata wang jatuh.
“Kos projek tersebut mungkin akan bertambah jika nilai mata wang negara terus menyusut. Kos keseluruhan MRT 3 yang mungkin melibatkan syarikat-syarikat perunding dan pakar-pakar luar negara akan meningkat, kalau kadar penyusutan nilai mata wang melebihi kadar yang diunjurkan.
“Sejak Mac 2022, nilai mata wang kita telah menyusut sebanyak 4.3%. Adakah kadar ini di dalam lingkungan yang boleh diserap oleh pembiaya projek tanpa pertambahan kos? Apakah mekanisme untuk mengatasi kenaikan harga bahan mentah pembinaan yang mendadak seperti bar keluli dan sebagainya?” soal Lih Kang.
Tegas calon Naib Presiden KEADILAN itu, pada ketika rakyat jelata sedang bergelut untuk membiayai kos sara hidup yang makin meningkat, kerajaan seharusnya mempamerkan sikap berwaspada dalam melaksanakan projek mega yang melibatkan dana rakyat.
“Kini rakyat terpaksa mengeluarkan wang pencen (KWSP) untuk hidup, apakah kewajaran kerajaan melaksanakan projek MRT 3 yang akan membebankan kita dengan hutang berpuluh bilion?
“Apatah lagi, kerajaan terpaksa memberi jaminan pinjaman kepada pembiaya projek MRT 3, iaitu Danainfra Nasional Berhad,” katanya lagi.
Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 Lembah Klang yang sebelum ini dihentikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan diumumkan oleh Menteri pengangkutan Dr Wee Ka Siong akan diteruskan.
MRT 3 turut dikenali sebagai Circle Line atau Laluan Lingkaran kerana laluannya lengkap dalam satu bulatan tanpa ada hujung. MRT 3 adalah sebuah lingkaran sepanjang 51km dengan 40.1km laluan bertingkat dan 10.7km di bawah tanah. Ia pendek sedikit berbanding MRT 1 Laluan Kajang (51km) dan MRT 2 Laluan Putrajaya (57.7km). Akan terdapat 31 stesen seluruhnya (tidak termasuk 2 stesen sementara) serta 10 stesen pertukaran kepada 8 laluan rel transit sedia ada.
Keseluruhan jajaran MRT3 ini dijangka mula beroperasi pada 2028 dan beroperasi sepenuhnya pada 2030.