Persaingan hujah dalam pertandingan posisi Timbalan Presiden KEADILAN yang ditandai dengan kata kunci ‘khemah besar’ dan ‘agreasif menyerang’ mempunyai naratif dan strategi yang lebih besar di belakangnya, iaitu memenangi Pilihan Raya Umum ke 15.
Bagi calon Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, beliau lebih memfokuskan kepada PRU bersama Pakatan Harapan (PH) tanpa lain lain parti dan yakin dalam persaingan 3 penjuru PH hanya perlu menambah sokongan 15% pengundi Atas Pagar untuk muncul sebagai pemenang
Hal itu diungkapkannya dalam debat anjuran Sinar Harian bertajuk “Siapa Layak Bersama Anwar?” semalam.
“Daripada angka politik ini kalau kita masuk bertanding tiga penjuru pada PRU akan datang, kita hanya perlu mendapatkan 5 – 10% pengundi Atas Pagar yang sebelum itu mengundi PH, tetapi beralih kepada PN.
“Pandangan saya, sebab itu kita perlu tahu kenapa orang yang dulu undi PH kini beralih kepada PN? Kita kena tahu kenapa. Sebabnya kerana mereka merasakan KEADILAN dan PH terpisah dari nadi rakyat. 2 tahun kita berada dalam PKP yang ditumpukan pimpinan PH ialah mendapatkan orang melompat. Rakyat di bawah, kita tak suarakan (derita) mereka.
“Oleh itu, 4 – 5 bulan ini kalau kita kerja kuat maka 10% (Atas Pagar) yang merasakan PN, PH dan BN ini semua sama, mereka akan melihat perbezaan pada PH. Sebab itu 2018 mereka mengundi kita. Maka strateginya (kali ini) kena jelas,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, terdapat dua kelompok pengundi yang perlu ditangani oleh KEADILAN atau PH sekiranya mahu menang. Iaitu Undi 18 dan pengundi automatik, yang mungkin jika mereka ingin mengundi maka nama mereka telah tersedia dalam senarai.
Bagi kedua dua golongan ini, katanya, kelebihan memihak kepada kerajaan semasa kerana kelompok pengundi itu tidak mempunyai pengalaman politik atau fikiran politik tertentu.
“Dua kumpulan ini membuat pertambahan mendadak dalam daftar pengundi, ada kumpulan Undi 18 dan 21 tahun. Juga ada pengundi yang tidak mendaftar dan kali ini boleh mengundi.
“Pola sokongan pengundi muda ialah kumpulan ini akan mengundi siapa yang jadi kerajaan kerana tidak lagi melalui pengalaman politik. Mereka ini hanya mengenali politik dengan watak watak rasmi menteri dan sebagainya.
“Bagi saya untuk memenangi pengundi yang kurang berminat dan kurang tahu seperti ini perlukan pendekatan yang tidak terlalu berpolitik.
“Pendekatan yang membawa satu imej yang mudah diterima. Mana mana parti dalam dunia, mereka menjalan softbranding dan mereka menjalankan program yang ada template tular, seperti Ayuh Malaysia yang tidak menumpukan politik, membawa isu dekat dengan golongan muda, soal gaji, tenaga boleh diperbaharui, TVET atau perkara yang terpisah daripada ahli politik yang lebih berumur. Ini yang perlu dilakukan secara berterusan dan ia di luar kerangka politik,” katanya.
Selain itu, Rafizi juga membawa isu ekonomi negara yang tidak berupaya menampung pekerjaan penduduk Malaysia atau membayar gaji secukupnya kepada anak muda berkelayakan.
Hal itu katanya, perlukan perubahan politik dan pemerintahan untuk ditangani.
“Nilai ekonomi yang kita jana setakat ini tidak mampu membayar gaji setimpal kepada nak muda yang keluar dari pusat pengajian.
“Kita berdepan dengan masalah meruncing iaitu perbekalan makanan yang terlalu banyak bergantung kepada import luar negara. Bila keadaan ekonomi tidak kukuh kita berdepan kenaikan harga mendadak yang menyebabkan rakyat biasa menanggung beban.
“Harapan rakyat sejak beberapa tahun lalu melihat percambahan idea dari pimpinan semua parti. Rakyat telah memainkan peranan apabila pentadbiran Najib terpalit dengan 1MDB mereka membuat keputusan menukar kerajaan buat kali pertama. Sejak berlakunya Langkah Sheraton ada tanggapan bahawa kepimpinan politik sibuk mendapatkan kuasa daripada bersaing menyelesaikan masalah.
“Itu menyebabkan kelesuan politik dalam pilihan raya negeri. Kita dapati undi BN tidak pernah bertambah dan berada pada takat sokongan yang sama pada 2018 tetapi penyokong PH buat keputusan untuk mengalihkan sokongan kepada PN.
“Manakala angka (tinjauan) terbaharu menunjukkan 63% rakyat tidak tahu untuk memilih mana mana parti dalam PRU akan datang,” katanya.
Justeru, Rafizi mengharapkan anggota KEADILAN akan memilih calon timbalan presiden yang benar benar mengetahui strategi menghadapi pilihan raya dan layak menerajui parti bagi menghadapi PRU 15.