Kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, bahawa menghalalkan pendatang tanpa izin (PTI) untuk tenaga berkerja adalah idea “bodoh” dibantah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Menurut mereka kemasukan tenaga kerja asing secara tidak sah itu sendiri berpunca daripada sistem imigresen negara yang lemah dan rasuah maka seharusnya PTI itu diberi pertimbangan untuk berkerja kerana mereka telah mengeluarkan modal yang besar masuk ke Malaysia.
Bagi Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, kenyataan Menteri Sumber Manusia itu adalah keterlaluan dan tidak bijak dalam menghadapi situasi kekurangan pekerja di negara ini.
“Reaksi menteri itu dangkal dan tidak menghiraukan punca kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini. PTI sebahagian besarnya menjadi mangsa keadaan di luar kawalan mereka; mereka bukan pesalah yang disengajakan terhadap undang-undang imigresen kita. Setelah ditipu oleh ejen atau majikan yang tidak bertanggungjawab, mereka telah menjadi ‘haram’
“Malah, memandangkan cara dan layanan yang mereka alami ketika masuk ke Malaysia, pekerja itu sendiri boleh dianggap sebagai mangsa yang diperdagangkan. Oleh itu, menghantar pulang adalah kejam dan tidak adil kerana ia akan meletakkan kesalahan kepada PTI yang dieksploitasi, manakala ejen dan majikan terlepas
“Kebanyakan PTI telah menanggung kos kewangan atau mengambil pinjaman yang besar untuk peluang bekerja di sini; dengan itu menghantar pulang boleh menyebabkan kemusnahan kewangan yang teruk, atau keganasan fizikal dan juga kematian di tangan pemberi pinjaman yang tidak melepaskan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Zaid juga bertanya kepada Saravanan, dengan menolak menjadikan pendatang tanpa izin itu sebagai pekerja sah adakah cara lain untuk mengatasi masalah kekurangan buruh di negara ini.
Sekiranya idea Saravanan membawa masuk lebih banyak pekerja asing, katanya, maka situasinya sama sahaja dengan mengiktiraf para pekerja yang telah pun berada di Malaysia.
“Hakikatnya sebahagian besar sektor ekonomi kita bergantung kepada pekerja asing. Mengusir mereka secara beramai-ramai akan mewujudkan kekosongan dalam sektor buruh yang seterusnya memerlukan kita membawa masuk lebih ramai pekerja asing untuk menggantikan mereka, sekali gus mewujudkan kitaran pekerja tanpa izin semula.
“Adalah lebih mudah, lebih berperikemanusiaan dan lebih menjimatkan kos untuk menghalalkan PTI yang sedia ada di sini.
“Kerajaan mesti memahami hakikat majoriti PTI berlaku adalah akibat daripada dasar buruh kita yang tidak mencukupi, penguatkuasaan yang lemah atau rasuah, dan kerajaan seharusnya memulakan penyelesaian yang komprehensif dan praktikal untuk masalah yang telah lama wujud ini,” katanya lagi.