Krisis Perlembagaan tidak akan berlaku sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal dalam usaha memohon pembubaran Parlimen dalam masa terdekat sebagaimana diarahkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, sekiranya permohonan membubarkan parlimen itu ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong maka baginda telah mengambil sikap yang betul berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 40 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan, iaitu Agong boleh bertindak menurut budibicaranya tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.
Katanya, penolakan itu berasas berdasarkan kepentingan negara kerana Belanjawan 2023 baharu dibentangkan pada 7 Oktober 2022 dan belum pun diluluskan oleh Parlimen.
“Hal Belanjawaan 2023 adalah hal negara, hal kewangan, hal ekonomi. Ia bukan perkara main-main. Ia juga bukan hal politik kepartian atau hal kepentingan individu.
“Agong tentu sedar Belanjawan 2023 yang telah disiapkan dengan rapi oleh Kementerian Kewangan amat wajar dibentangkan pada 7 Oktober ini, kemudian dibahaskan dan diluluskan dengan pengundian di Dewan Rakyat.
“Jika Parlimen dibubarkan tergesa-gesa dalam sehari dua ini, apa jadi dengan nasib Rang Undang-undang Belanjawaan 2023 tersebut?” tanyanya.
Dalam hal kemungkinan berlaku bencana banjir pada hujung tahun ini, kata Hassan, Agong akan lebih memilih memikirkan nasib rakyat jelata, perlukan PRU diadakan tergesa gesa sewaktu ramalan akan berlaku banjir besar
Agong juga, katanya, tentu sedar yang menginginkan pembubaran Parlimen adalah Zahid Hamidi. Malah separuh anggota kabinet PM Ismail sendiri menentang PRU pada musim tengkujuh
“Agong boleh mendapatkan kepastian daripada Perdana Menteri Ismail Sabri sama ada Jemaah Menteri telah buat keputusan untuk pembubaran Parlimen seperti yang dikehendaki di bawah Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Perdana Menteri mengadap Agong untuk menasihati Baginda bagi membubarkan Parlimen.
“Sebenarnya dalam hal ini Umno dan PM Ismail Sabri dari Umno berada dalam keadaan defensif dan lemah untuk memaksakan kehendak terhadap Yang diPertuan Agong supaya segera membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU awal,” katanya lagi.
Hassan berharap dalam tempoh beberapa hari ini Agong tegas memelihara kuasa budibicaranya demi kepentingan negara dan rakyat.
Dengan itu, katanya institusi Raja Berperlembagaan akan dihormati dan dipandang tinggi oleh rakyat dan masyarakat dunia antarabangsa.