Tiga cabaran digariskan untuk ditangani oleh Kementerian Ekonomi bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menterinya, Mohd Rafizi Ramli berkata demikian memandangkan tahun ini adalah tahun untuk pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas.
Rafizi memberikan contoh industri petroleum dalam menyatakan cabaran ekonomi atau dilema yang dihadapi negara.
“Pertama kita perlu kukuhkan keupayaan fiskal. Bagaimana kita pastikan tuntutan semasa, pendapatan yang kita dapat cukup untuk kita labur dalam jangka masa panjang dengan berkesan kepada rakyat?
“Cabaran kedua ialah menambahkan hasil kerajaan. Ia berkaitan dengan cabaran pertama. Kita perlu mengendalikan perbelanjaan pembangunan dan melabur dalam sektor yang mempunyai kesan berlipatganda. Berapa banyak boleh dibelanjakan bergantung kepada pendapatan,” katanya dalam Majlis Amanat Menteri Ekonomi bersama warga Kementerian Ekonomi, pagi tadi.
Selain itu, beliau juga menyatakan ada keadaan di mana ekonomi berkembang tanpa menjana pendapatan.
Cabaran ketiga pula katanya merupakan penstrukturan semula ekonomi secara makro dan mikro.
“Bagaimana kita memastikan lonjakan sektor berdaya tinggi yang boleh dirasai rakyat? Kesihatan ekonomi untuk rakyat adalah soal gaji dan inflasi saja. Kalau gaji berpatutan dengan inflasi, tak timbul soal kesejahteraan.
“Tapi kalau inflasi naik tanpa gaji naik, itu masalah. Ekonomi berkembang tapi gaji tak naik,” katanya.
Menurut Rafizi lagi, beliau berpandangan bahawa kepimpinan politik juga mempunyai peranan penting untuk memastikan dasar yang dibuat diterjemahkan secara betul demi kesejahteraan rakyat.