Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat cadangan Pergerakan Pemuda Umno Malaysia untuk berhimpun membantah filem ”Innocence Of Muslims” agak lambat dan kurangnya sensitif terhadap filem tersebut
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss berkata isu filem itu telah lebih seminggu tersebar melalui laman Youtube dan bantahan telah dilakukan banyak pihak.
“Kami merasakan pada Jumaat lepas, 14 September lalu sewajarnya Pemuda Umno turut berhimpun bersama kami di seluruh Masjid di negeri-negeri untuk mengzahirkan bantahan bersama.
“Kami juga mengharapkan atas sikap sebagai sebuah Parti yang menguasai Kerajaan Pusat sewajar bertindak lebih daripada mengadakan himpunan sahaja. Sebagai contoh lain, Pemuda Umno perlu mendesak agar Kerajaan Pusat memberikan notis bantahan terhadap Amerika Syarikat. Pemuda Umno juga perlu mendesak agar Kedutaaan Amerika Syarikat memohon maaf atas apa yang berlaku. Dan membuka ruang di dalam Parlimen untuk membincangkan Usul mengutuk perkara tersebut,” katanya.
Dr Raja Ahmad menggesa Pemuda Umno bukan sahaja pandai berkokok pada hari tertentu malah akan terus mendesak Amerika Syarikat mengubah dasarnya.
“Kami secara tegas dan konsisten akan mendesak agar Amerika Syarikat supaya menghormati agama Islam,” katanya.