Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang sehingga hari ini tidak mengambil sebarang tindakan atas ancaman Perkasa untuk membakar kitab Injil.
“Sehingga hari ini kita tak dengar mana-mana reaksi keras Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
“Ini hanya berlaku kerana kelemahan kepimpinan di negara ini. Dia (Najib) tak berani untuk menegur dan memberikan amaran,” kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Tegas Anwar persaingan politik tidak sewajarnya menjurus kearah fanatik agama.
Malah menurutnya, program jelajah Merdeka Rakyat yang akan diadakan di Johor mulai petang ini telah dicemari dengan insiden penggantungan bendera KEADILAN dan Pas yang diconteng dengan lambang salib.
“Kamu boleh jadi tidak bersetuju dengan Pakatan Rakyat. Tapi kamu kena tahu batasannya. Ini juga menggambarkan pimpinan Umno dan kerajaan sangat lemah. Tidak dapat mengawal penyokong mereka sendiri.
“Siapa yang sanggup lakukan ini? Mengapa tidak ada tindakan? Kita boleh bertarung di pentas politik. Tapi jangan permainkan isu perkauman dan agama,” tegasnya.
“Kemudian mereka mahu perlihatkan yang diri mereka itu Islamik. Bagaiaman dengan kasino (judi), rasuah dan saham syarikat arak San Miguel?, soalnya.
Tambahnya, sekiranya terdapat bantahan oleh pihak tertentu, ia perlu diadakan dengan cara beradab.
“Kalau nak membakar, itu tujuan provokasi untuk menghina orang Kristian. Tindakan biadab ini sengaja dibuat untuk menimbulkan ketegangan dan tindakan Umno untuk mengelak dari membicarakan hal penyelewengan menjelang pilihan raya.
“Kalau ada orang mengambil keputusan sebaliknya, ini akan menggugat keselamatan. Orang Islam mesti menolak tindakan ini. Orang Islam tidak pernah diajar untuk merendah atau menghina agama lain,” tegas Anwar