Tekanan Gabungan NGO Pengerang (GNP), penduduk tempatan dan Pakatan Rakyat punca firma minyak dan gas dari Jerman, BASF (Badische Anilin und Soda Fabrik) menarik diri dari projek Rapid di Pengerang.
Menyifatkan ia sebagai kejayaan rakyat, Setiausaha GNP, Kapten Hasnul Ahmad berkata, BASF terpaksa menarik diri kerana perlu memikirkan reputasi syarikat eropah itu pada masa akan datang.
“Isu alam sekitar, pemilikan tanah dan kampung warisan punca BASF tarik diri. Isu Rapid bukan saja jadi isu nasional, tapi dah menjadi isu dunia.
“Mungkin tak tahan dengan tekanan dan himpunan (anti -Rapid), (maka) BASF tarik diri,” kata Hasnul kepada Keadilandaily.
BASF dalam kenyataan rasmi pada 21 Januari menyatakan menarik diri dari projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) yang dianggar bernilai RM60 bilion.
Perjanjian Utama (HOA) ditandatangai kedua pihakl pada 5 Mac 2012 dengan BASF dianggar melabur RM4 bilion dalam projek Rapid.
Dibawah terma perjanjian, sebuah entiti baru akan ditubuhkan dengan BASF memegang 60 peratus kepentingan, manakala Petronas 40 peratus.
Kedua pihak merancang untuk memiliki, membangun, membina, mengoperasi fasiliti pengeluaran produk petrokimia di Rapid.
Manakala Business Times pada 22 Januari melaporkan, Petronas kini sedang mencari rakan niaga baru dan juga sebagai pelabur bagi menggantikan BASF.
Dalam pada itu, Hasnul memaklumkan, kerajaan Johor langsung tidak membuat pengumuman rasmi tentang perkara tersebut.
“Itu tanggungjawab mereka. Sepatutnya dibuat (pengumuman). Kerana rakyat ialah pemilik kepentingan,” kata Hasnul.