Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor akan memperinci pengambilalihan perkhidmatan air negeri itu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).
Beliau merujuk kenyataan Chin pagi ini, yang mengatakan tidak menerima surat pemaklukan berkenaan.
“Dia membalas secara umum. Dia setuju merujuk kepada Akta Suruhanjaya Air. Dalam Akta ada prosedur bagaimana pengambilalihan dibuat. Kita tulis selanjutnya supaya dia terima,” katanya pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Tambahnya dokumen tawaran pengambilalihan akan turut diserah kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (Splash), Puncak Niaga dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS).
“Ini akan dibuat selepas 14 hari,” kata Khalid.
Semalam, kerajaan Selangor menulis surat kepada Chin Kah Fui memaklumkan pengambilalihan perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.
Pengambilalihan akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya kementerian tidak memberi sebarang maklum balas.
Chin pagi ini dalam kenyataan pagi ini berkata, Pusat tidak akan menghalang Selangor mengambilalih perkhidmatan air jika semua pihak bersetuju.
Manakala Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini menyatakan Pusat tiada halangan untuk Selangor mengambilalih perkhidmatan air.
Dalam pada itu, Khalid menambah kerajaan negeri telah mendapat maklumbalas dari dua syarikat yang terlibat perkhidmatan air negeri.
“Tapi kita tak boleh namakan (syarikat) sekarang. Dua dari syarikat ini ada syarikat induk yang berada dalam penyenaraian awam. Ada bahagian-bahagian maklumat yang sensitif,” kata Khalid.