Gabungan Barisan Nasional jelas retak apabila Umno mendominasi kerusi-kerusi dalam pilihan raya umum ke-13 termasuk milik parti komponen MCA.
Malah, sehingga 15 April lalu, empat presiden parti komponen BN disahkan tidak bertanding.
Mereka terdiri daripada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas.
“Kita dapat saksikan persaingan dalaman yang sengit antara parti komponen BN untuk meletakkan calon-calon mereka,”kata calon parlimen KEADILAN Pasir Salak, Mustafa Kamil Ayub.
“Kita juga dapat lihat Umno tidak lagi menaruh keyakinan kepada rakan komponen parti berasaskan kaum yang lain. Ini jelas melanggar semangat gabungan BN,” katanya.
Mustafa, bekas Setiausaha Politik Tan Seri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjabat jawatan Menteri Belia dan Sukan menjelaskan, budaya toleransi dalam BN kini berada dalam keadaan paling parah.
“Campur tangan kini terus dari pucuk pimpinan Umno-BN. Ini kerana faktor calon dilihat sangat penting. Pakatan Rakyat lebih kemas membuat saringan,” kata Musatafa membuat perbandingan.
Mengulas bantahan akar umbi ketika pengumuman calon BN di PWTC 15 April lalu, Mustafa mengulas, ini kali pertama budaya tikam-menikam di dalam parti itu dilakukan secara terbuka menjelang pilihan raya.
“Tindakan menurunkan calon yang tak digemari mendapat tentangan. Kehendak akar umbi dibalas sikap pucuk pimpinan Umno-BN yang seolah-olah mahu mengasai semuanya,” kata Mustafa.