Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menuntut satu Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-13.
Beliau menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pihak yang bertanggungjawab perlu dihadapkan ke suruhanjaya itu dan menjawab segala aduan dan laporan.
“Kita mahukan jawapan Perdana Menteri dan SPR. Kita mahukan perhatian penuh. Pilihan raya umum ke-13 tidak bebas.
“Kenapa kita berkumpul di sini? Kerana kita marah pilihan raya yang tidak adil. Kemenangan Pakatan Rakyat sudah dicuri,” kata Lim di hadapan 30,000 hadirin di ceramah ‘Black 505’ di Taman Puteri Wangsa, malam tadi.
Tegas Lim yang juga ahli parlimen Gelang Patah, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri yang ‘kurang legitimasi’ berikutan hanya 47% undi berpihak kepada Barisan Nasional.
Menurut Lim, melalui sistem pilihan raya sekarang, Pakatan Rakyat perlu mendapat sehingga 65% undi popular di seluruh negara untuk membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, Lim turut menyelar istilah ‘Tsunami Cina’ yang digunakan Najib Razak untuk menutup kekalahan besar Barisan Nasional.
Jelas KLim, daripada 5.4 juta undi popular yang diraih Pakatan Rakyat, 2.31 juta adalah undi orang Melayu dan 2.29 juta dari pengundi berbangsa Cina. Manakala, masyarakat India memberi 400,000 undi kepada Pakatan Rakyat dan 35,000 dari lain-lain kaum.
“Macam mana Najib boleh menjadi Perdana Menteri? Sedangkan dia tidak mendapat sokongan majoriti pengundi di Malaysia. Ini kerana sistem pilhan raya yang tidak adil dan tidak bersih
“Ini menunjukkan pengundi paling ramai menyokong Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri rakyat Malaysia,” kata Lim disambut tepukan gemuruh hadirin.