Kemelut pemindahan penduduk di Ladang Bukit Jalil yang bakal dibangunkan menjadi kawasan komersial tidak diselesaikan dengan baik oleh Menteri Wilayah Persekutuan Dato Raja Nong Chik. Walaupun beliau memenuhi jemputan jawatankuasa penduduk pada 23 Februari lalu dan hadir bersama Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam namun penduduk masih tidak berpuas hati dengan sikap kerajaan yang memaksa mereka keluar dari ladang itu dengan pampasan yang kecil. Sekiranya tidak, rumah tetap akan dirobohkan.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S.Arutchelvan mengunjungi penduduk terbabit baru-baru ini untuk memperjuangkan tuntutan penduduk yang semakin tersepit.
Dalam sidang media, wakil penduduk menyatakan mereka tidak dapat menerima sikap kerajaan yang memaksa mereka berpindah tanpa rundingan sedangkan mereka telah lama mendiami kawasan itu.
“Datuk Raja Nong Chik mengambarkan tawaran RM23,000 sebagai sesuatu yang hebat, seolah-olah dapat satu rumah percuma. Sedangkan harga rumah yang paling murah pun RM 42,000.
“Kami juga membidas Raja Nong Chik kerana mengatakan kerajaan membantu rakyat India sebagaimana di “Little India” Brickfields. Bagaimana pembinaan Little India boleh dibandingkan dengan pengorbanan empat generasi pekerja ladang di negara ini ?
“Apa yang kami minta hanya 3 ekar dari 26 ekar yang masih belum dibangunkan untuk dibina perumahan. Mengapa tuntutan ini tidak boleh dilaksanakan
“Hanya 10 orang sahaja bekas pekerja ladang yang berpindah ke flat daripada jumlah 71 orang, manakala 39 yang tidak berpindah adalah bekas pekerja ladang.
“Kami juga difahamkan tanah Bukit jalil sudah dijual kepada pihak swasta. Justeru itu, siapakah kerajaan untuk menjalankan rundingan. Mengapa kerajaan berunding untuk pihak kapitalis swasta ? Adakan Kerajaan jadi agen pemaju ?,” katanya.
Ahli jawatankuasa yang lain, Thiagarajan dan Balan juga membidas sikap menteri yang cuba menghalang S.Arutchelvan dan V.Selvam hadir sebagai jurucakap pada mesyuarat pada 23 Februari lalu. S.Arutchelvan dalam pertemuan itu menceritakan pengalamannya mendapatkan rumah percuma dan tanah untuk Pekerja Ladang. Baginya rumah percuma bukanlah mustahil seperti yang dikatakan oleh Raja Nong Chik.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.