Kerajaan Barisan Nasional menerima RM80 Bilion pendapatan daripada hasil minyak dan gas setiap tahun tetapi kerajaan tidak mampu memperuntukkan sedikit pendapatan tersebut bagi tujuan meringankan bebanan rakyat.
Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menjelaskan sikap boros dan ketirisan dalam berbelanja menjadi punca kerajaan tidak punya kemampuan menyalurkan sedikit pendapatan negara bagi dinikmati keseluruhan rakyat.
“Seharusnya rakyat dapat manafaat dari hasil yang diperolehi negara, itu wang rakyat.
“Tetapi oleh sebab pemimpin negara ini sangat boros berbelanja, hasil yang sepatutnya dinikmati rakyat habis entah kemana” ujar Tian.
Menurut Tian, dalam keadaan ekonomi semakin merudum, kerajaan harus lebih cermat dalam berbelanja selain mengawal ketirisan yang berlaku, bukannya dengan mengambil jalan mudah membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak.
“Kemana RM80 Bilion hasil dari minyak dan gas setiap tahun?, apakah ia telah habis dibelanjakan untuk kepentingan pemimpin dan kroni sahaja?.” Soal Tian lagi.
Industri minyak dan gas menyumbang lebih dari 30 peratus pendapatan negara, kerajaan dianggarkan menerima RM80 Bilion setiap tahun hasil dari Dividen, Cukai dan Duti Hasil petroleum.