Pemuda PAS Negeri Perak menasihatkan agar Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) membantu PAS memberi penerangan kepada masyarakat khususnya orang Melayu tentang hukuman hudud berbanding menimbulkan perbalahan kaum yang akan memberi impak yang negatif kepada Islam khususnya.
Ketua Penerangan, Pemuda PAS Negeri Perak Mohd Syamsul Alaudin berkata ISMA tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan kontroversi seperti dakwaan orang Cina adalah penceroboh. ISMA juga, katanya, membuat dakwaan mengelirukan bahawa hukum Hudud bukan sahaja untuk orang Islam tetapi ianya perlu dilaksanakan kepada semua manusia tanpa mengira agama.
“Pemuda PAS menghormati pandangan tersebut namun adalah lebih baik ISMA membantu memberi kefahaman tentang hukum tersebut kepada kelompok sasaran utama iaitu orang Melayu yang beragama Islam.
“Kenyataan seperti itu bukanlah memberi kebaikan dalam suasana sekarang sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan yang agak meruncing ketika ini. Pada kami tindakan ISMA ini secara ‘tidak sengaja’ telah cuba memberi pertolongan ke arah kegagalan tindakan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukuman hudud.
“Amatlah baik jika ISMA membantu memberikan penerangan tentang hukum Hudud kepada orang Melayu yang menjadi kelompok sasaran pertubuhan itu. Kami berharap ISMA dapat bersama berganding bahu bersama PAS merealisasikan perlaksanaan hukum Hudud di Malaysia khususnya dan Kelantan amnya,” kata beliau.